KPM sasar 45 projek tambah baik sekolah daif tahun ini

KPM menyasarkan 45 projek menambah baik atau pembangunan semula sekolah daif dapat disiapkan sepenuhnya pada tahun ini. - Foto fail Bernama.
KPM menyasarkan 45 projek menambah baik atau pembangunan semula sekolah daif dapat disiapkan sepenuhnya pada tahun ini. - Foto fail Bernama.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan 45 projek menambah baik atau pembangunan semula sekolah daif dapat disiapkan sepenuhnya pada tahun ini, kata Menterinya Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, sejak 2016 hingga 1 Ogos lepas, sejumlah 675 projek berkaitan sekolah daif telah siap, 99 dalam proses pembinaan dan 228 berada pada peringkat prabina.

"Tempoh semua pembinaan projek ini mengambil masa antara enam hingga 36 bulan tertakluk kepada skop projek dan keperluan kerja penyediaan tapak," katanya ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Isnin.

Fadhlina berkata, KPM turut memberi keutamaan untuk mengiklankan tender bagi 38 projek pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

''Komitmen kita khususnya dalam agenda sekolah daif ini cukup jelas, untuk memastikan anak kita benar-benar mendapat manfaat daripada projek pembangunan sekolah ini,'' katanya.

Bagi memastikan keselamatan fasiliti di sekolah, beliau berkata pengetua dan guru diberi kuasa untuk membuat laporan melalui sistem KPM agar pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat melakukan semakan.

''KPM memberi keutamaan kepada sekolah yang mempunyai bangunan dan fasiliti yang dalam keadaan kritikal (bagi melaksanakan projek penggantian kepada sekolah yang mempunyai bangunan atau fasiliti) pada skala enam dan tujuh,'' katanya.

Fadhlina berkata, pembangunan semula sekolah daif bukan sahaja melibatkan sekolah di luar bandar, malah semua sekolah di seluruh negara yang mengalami masalah sama.

"Tak semua memahami konteks sekolah daif, semua menyangka sekolah daif di pedalaman sahaja, (sedangkan) semua sekolah ada isu masing-masing.

"Proses ini sangat penting, di samping kita nak jaga soal integriti dan proses kerja, dalam masa yang sama kita ingin semua projek mengikut garis masa ditetapkan," katanya.

Sebelum ini, KPM memaklumkan dari 2016 hingga 2023, kerajaan memperuntukkan RM6.5 bilion bagi pelaksanaan projek pembangunan semula bangunan daif di sekolah seluruh negara. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!