Ramlah duga Nabila Huda
NAMA Nabila Huda dalam arena lakonan baik drama ataupun filem sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.
Tidak keterlaluan untuk dikatakan, wanita berusia 38 tahun itu tidak pernah gagal memberikan lakonan berkesan dalam apa jua naskhah yang dijayakan.
Setiap watak mempunyai nafas dan aura tersendiri sehingga melayakkan Nabila atau mesra dengan panggilan Abil membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem ke-28.
Justeru, apabila pemilik nama penuh Nabila Huda Suhaimi itu diuar-uar membawakan watak Ramlah yang diilhamkan daripada Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-7, Rahsia, ramai yang berkongsi rasa teruja.
Khalayak tahu, aktres tersebut pasti akan memberi satu lakonan yang mantap dan berkesan.
Mendekati ibu kepada Kesha Laila itu, Nabila mengakui dirinya memikul satu tanggungjawab besar apabila pengarah, Shamyl Othman meluahkan hasrat untuk menghasilkan reboot Rahsia dan memilihnya sebagai watak utama.
Jelas selebriti tersebut, beliau sama sekali tidak meniru atau mengikut lakonan pelakon asalnya, Noorkumalasari, sebaliknya membentuk acuan Ramlah seperti yang dimahukan pengarah.
"Saya pernah tonton Rahsia, tetapi seingat saya ketika itu saya masih kecil. Jadi, apabila Shamyl tawarkan watak ini, saya tonton semula filem itu untuk memahami jalan cerita.
"Bila dah lihat, saya rasa besar juga tanggungjawab yang diberikan. Selepas segala persiapan dan latihan dilakukan, saya bentuk sendiri karakter ini mengikut apa yang Shamyl mahukan," katanya.
Nabila berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan filem Rahsia di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Nabila, demi mendalami karakter Ramlah, beliau sendiri meminta untuk tinggal di lokasi penggambaran iaitu di sebuah rumah lama di Pulau Carey, Selangor sambil ditemani pembantu peribadinya.
Malah, bagi memastikan beliau statik dengan karakter itu, Nabila hanya menghabiskan masa sendirian di depan cermin dengan ditemani runut bunyi filem ini, Alunan Lara nyanyian NJWA.
"Sejujurnya memang saya tertekan kerana Ramlah perlu bermain dengan emosi yang berat. Jadi, saya pastikan fokus 100 peratus supaya tidak terkeluar daripada karakter Ramlah.
"Sehinggakan pernah dua minggu menjalani penggambaran, saya pulang ke rumah kerana rindukan suami dan anak, namun suami minta saya pulang semula ke lokasi dan 'tinggalkan' Ramlah di sana sebaik habis penggambaran, sebelum pulang semula bertemu dia dan anak.
"Mujur saya cepat move on, jadi sebaik habis penggambaran, saya 'tinggalkan' karakter Ramlah dan pulang sebagai Nabila," jelasnya.
Ditanya kebarangkalian aksinya akan tetap dibandingkan dengan lakonan Noorkumalasari, anak rockers terkenal, Amy Search itu menjawab soalan itu dengan tenang.
"Bagi saya masing-masing ada keistimewaan dan saya tak rasa lebih baik daripada Kak Noorkumalasari. Pada tahun 1987 pembawakan karakter itu berbeza, cara juga berbeza.
"Saya tak kisah dibandingkan dan tak takut pada perbezaan. Cuma apa yang pasti, saya beri tenaga lebih 150 peratus untuk filem ini," katanya yang mengakui babak dirasuk paling sukar untuk dijayakan.
Pada masa sama, Nabila juga menegaskan watak Ramlah jauh berbeza dengan peranan Maria yang dijayakannya dalam filem Munafik.
"Kalau filem, saya tidak akan ambil watak yang sama. Maria lain pembawaannya, Ramlah juga berbeza. Jalan ceritanya juga berbeza.
"Begitu juga dengan karakter sebagai ibu. Dalam Rahsia berbeza karakter saya sebagai ibu dalam M4M4 termasuk dari segi emosi," terang Nabila.
Tidak yakin
Sementara itu, Nabila mengakui, masih berasa gementar setiap kali naskhah lakonannya akan ditayangkan di pawagam.
Jelasnya, walaupun sudah berpengalaman dan memenangi anugerah, beliau tidak pernah yakin setiap kali menjayakan watak baharu.
"Bagi saya kalau kita ada rasa takut atau gementar, itu normal. Harus ada rasa itu sebab kalau kita terlalu yakin dan akhirnya tidak dapat lakukan yang terbaik, lagi boleh mendatangkan tekanan.
"Justeru, apabila ada filem lakonan saya akan ditayangkan di pawagam, saya tetap rasa gementar menanti reaksi penonton," ujarnya yang mengakui seorang yang penakut dan tidak suka menonton naskhah seram.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!