Peguam Imran Khan mahu cabar keputusan
ISLAMABAD - Drama penahanan bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan belum berakhir selepas peguam beliau merancang untuk mencabar hukuman yang dikenakan ke atas pemimpin itu pada akhir minggu lalu.
Pada Isnin, pasukan undang-undang bekas bintang kriket antarabanga itu bertindak memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Lahore dan Islamabad yang membolehkan peguam mencabar kes tersebut.
Sebuah lagi petisyen turut difailkan bagi menuntut Imran ditempatkan di sel 'kelas A' lebih selesa yang biasanya dikhaskan untuk banduan VIP.
Peguam beliau mendakwa tidak diberikan akses untuk bertemu dengannnya di penjara Attock setelah pemimpin itu dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas disabit bersalah atas kes rasuah membabitkan pemberian hadiah kepadanya ketika menjadi Perdana Menteri.
"Pusat tahanan itu telah menjadi 'zon larangan'. Kami tidak dapat menghantar makanan atau menguruskan proses menandatangani dokumen undang-undang yang diperlukan," kata jurucakap hal ehwal undang-undang beliau, Naeem Haider Panjotha.
Dalam perkembangan berkaitan, gesaan Imran kepada penyokong Parti Tehreek-e-Insaf (PTI) untuk mengadakan protes aman dilaporkan kurang mendapat sambutan.
Situasi di seluruh negara kekal tenang berbeza dengan insiden protes ganas yang tercetus sejurus penahanannya selama tiga hari pada Mei lalu.
Hal tersebut berlaku kerana ribuan penyokong PTI masih meringkuk di dalam penjara selain akhbar tidak lagi mesensasikan kisah Imran walaupun popularitinya kekal tinggi. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!