Anak komposer lagu Mencari Sinar derita SLE

Nurnajwa menunjukkan antara medal yang dimenanginya ketika bergiat aktif dalam aktiviti sukan di peringkat sekolah. Turut kelihatan bapanya, Rosli.
Nurnajwa menunjukkan antara medal yang dimenanginya ketika bergiat aktif dalam aktiviti sukan di peringkat sekolah. Turut kelihatan bapanya, Rosli.
A
A
A

KEMAMAN - Sudah jatuh ditimpa tangga begitu gambaran terhadap nasib menimpa seorang komposer lagu apabila anaknya disahkan menghidap penyakit sistemik lupus eritematosus (SLE) sejak April lalu.

Komposer lagu Mencari Sinar yang dipopularkan oleh kumpulan Lefthanded, Rosli Ali, 57, berkata, anaknya Nurnajwa Rosli, 19, yang merupakan pelajar Tingkatan Enam (Atas) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang terpaksa berhenti sekolah buat sementara waktu akibat ulser pada mulut, sakit saraf dan rambut gugur.

Katanya, Nurnajwa kini tidak mampu berjalan dengan baik dan terpaksa tidur di ruang tamu rumah mereka di Taman Seri Mekar, Tok Kapor, Binjai di sini kerana tidak berupaya naik ke biliknya di tingkat atas.

"Selama ini saya terlantar sakit dibantu anak. Tak sangka pula kini dia pula yang ditimpa sakit dan perlukan bantuan serta sokongan," ujar Rosli ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Rosli, anaknya kini bergantung dengan susu Hevisure Gold berharga RM130 setin (400 gram).

"Susu tu perlu diminum dua kali sehari untuk melegakan kesakitan ulser dalam mulut dan sakit saraf.

"Pengambilan susu ini juga atas nasihat doktor pakar HSNZ (Hospital Sultanah Nur Zahirah)," katanya.

SLE merupakan penyakit autoimun di mana badan menghasilkan antibodi yang menyerang tisu badan, menyebabkan radang atau inflamasi di banyak bahagian badan seperti kulit, sendi dan organ dalaman termasuk otak, paru-paru, jantung dan buah pinggang.

Sebelum ditimpa penyakit itu, Nurnajwa merupakan atlet sukan memanah dan pernah menjadi johan kategori perempuan bawah 18 tahun (70 meter) Olimpik Round sempena Kejohanan Memanah Majlis Sukan Sekolah Daerah Kemaman 2020 anjuran Majlis Sukan Sekolah Daerah Kemaman.

Ogos lalu Sinar Harian menyiarkan kisah Rosli yang terlantar sakit akibat penyakit kencing manis dan darah tinggi yang dihidapinya sejak 12 tahun lalu.

Tahap kesihatan Rosli kini semakin merosot malah terpaksa berulang alik ke Hospital Kemaman akibat penyakit yang dialaminya itu.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh hubungi Rosli Ali di talian 012-516 5672.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!