Wanita disyaki kurang siuman amuk depan pasar raya
KLANG - Seorang wanita disyaki kurang siuman mengamuk gara-gara ditegur untuk tidak meninggalkan anaknya di dalam sebuah pasar raya di Jalan Pos Baru Klang, dekat sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya telah mengesan satu video tular di Twitter jam 12.39 tengah hari memaparkan seorang wanita sedang mengamuk.
Beliau berkata, kejadian yang berlaku di hadapan sebuah pasar raya itu telah dimuat naik jam 10 pagi oleh pemilik akaun menggunakan nama Nan Manjoi.
"Punca kejadian disebabkan pihak keselamatan sebuah pasar raya meminta wanita terbabit untuk tidak meninggalkan anaknya ketika keluar dari premis tersebut.
"Namun hasil semakan mendapati terdapat satu laporan polis telah dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada Isnin jam 9.13 pagi menyatakan perempuan tersebut bersama dua anaknya telah diselamatkan pihak jabatan tersebut.
"Wanita yang tidak dipastikan bangsanya itu telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi mendapatkan rawatan kerana disyaki kurang waras," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, kata beliau, tiada sebarang dokumen diri diperoleh daripada wanita tersebut.
Untuk itu katanya, kes tersebut telah diklasifikasi rujuk lain agensi (RLA) iaitu kepada JKM.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu boleh disalurkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara atau mana-mana polis berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!