Keranda merah jambu gara-gara demam Barbie

Sebanyak 10 keranda bertemakan Barbie berjaya dijual setakat ini. - Foto Agensi
Sebanyak 10 keranda bertemakan Barbie berjaya dijual setakat ini. - Foto Agensi
A
A
A

SAN SALVADOR - Sebuah rumah pengebumian di El Salvador turut terkena tempias 'demam Barbie' yang sedang melanda seluruh dunia.

Alpha and Omega Funeral Home di bandar Ahuachapán berhampiran sempadan Guatemala kini menawarkan keranda merah jambu dengan rekaan bertemakan Barbie.

Pemiliknya, Isaac Villegas berkata, mereka telah mula memberi pilihan keranda seperti itu sebelum tayangan perdana filem Barbie pada bulan lalu.

"Kegilaan yang melanda Amerika Latin mencetuskan idea untuk rekaan tersebut. Saya berpendapat kami juga perlu mengambil peluang dengan mengikuti trend Barbie," ujarnya.

Difahamkan, rumah pengebumian itu sudah melancarkan kempen promosi dan berjaya menjual 10 keranda bertemakan Barbie.

"Sebahagiannya membeli keranda itu sebagai persediaan untuk majlis pengebumian pada masa akan datang," jelasnya.

Sebelum ini, kebanyakan individu lebih suka kepada keranda tradisional yang berwarna seperti coklat, putih atau kelabu.

"Kira-kira setahun lalu, kami telah menjual keranda merah jambu pertama," katanya lagi sambil menambah idea itu akan diteruskan kerana mendapat sambutan yang menggalakkan.

Demam Barbie melanda seluruh Amerika Latin termasuk pastri dan 'taco' berwarna merah jambu malah ia turut dijadikan tema untuk demonstrasi. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!