PRN: 'Rakyat tolak Kerajaan Perpaduan isyarat Anwar bukan PM pilihan' - Muhyiddin

Muhyiddin ketika ditemui pemberita selepas Program Santai Petang Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin
Muhyiddin ketika ditemui pemberita selepas Program Santai Petang Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA NERUS - Penolakan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan pada enam pilihan raya negeri (PRN) nanti sebagai isyarat bahawa rakyat di negara ini tidak mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa penolakan itu juga sebagai suatu pungutan suara atau referendum kekecewaan rakyat terhadap kepimpinan Anwar yang dianggap tidak mampu menguruskan negara.

"Jadi kalau kita rasa kecewa kerajaan Madani di bawah Anwar Ibrahim maka jangan pangkah Anwar dan jangan pangkah Barisan Nasional (BN) tapi pangkah PN.

"Ada kira-kira 9 juta pengundi di enam negeri. Katakanlah tujuh juta pengundi buat keputusan tak nak sokong Anwar maka Anwar sudah dapat satu isyarat bahawa rakyat Malaysia tak mahu beliau sebagai Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Petang Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Muhyiddin mendakwa keputusan penolakan itu menunjukkan pengundi tidak bersetuju dengan segala perkara dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan.

"Kalau yang keluar itu nanti tak menyokong menunjukkan mereka tidak suka (kerajaan) dan jadi kita harap ia berlaku pada PRN nanti," ujarnya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau menghormati keputusan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'aman yang berhenti sebagai ahli parti itu.

"Itu tak apalah dia buat keputusan atas sebab dia sendiri dan saya tak nak ulas panjang lebar. Kita tidak ada halangan dan sekatan pada sesiapa pun.

"Patut dia faham perjuangan kita selain bersabar. Kalau pun ada perkara tak puas hati, kita boleh selesaikan secara anak-beranak dalam parti tapi tak apalah dia sudah buat keputusan maka kita hormati keputusan dia," ulasnya.

Pada Isnin, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman mengumumkan meletak jawatan termasuk berhenti sebagai ahli parti itu berkuat kuasa pada Isnin.

Dakwa Muhammad Faiz, objektif awal penubuhan parti berkenaan kian terpesong yang mana ia mahu menggantikan UMNO dengan memberi lebih ruang kepada orang muda dan muka baharu terutama mempunyai latar belakang bersih.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!