'Menang di Gombak hakis persepsi saya geng Azmin' - Amirudin
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan persepsi bahawa beliau adalah 'geng kartel' Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sudah hampir terhakis sepenuhnya apabila beliau menang di Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
"Perkara ini hampir selesai (terhakis) sepenuhnya bila saya menang di Gombak dengan majoriti yang signifikan.
"Saya juga buktikan bahawa kerajaan Selangor kekal di bawah Pakatan Harapan (PH) dan berjaya menang 16 daripada 22 kerusi dalam PRU15 lalu," kata Amirudin.
Beliau berkata demikian pada program podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan pada Isnin.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, transisi imej beliau yang pada awalnya disebut sebagai sekutu Azmin itu berjaya dilakukan berdasarkan prinsipnya sebagai seorang ahli parti.
"Saya buktikan yang saya orang parti kerana menyertai PKR sebab idea, bukan sebab Azmin," ujarnya.
Bagaimanapun, Amirudin mengakui bahawa mengikut sejarah awalnya sememangnya beliau adalah geng Azmin.
"Saya tak nafikan sejarah saya dalam kem Azmin yang sekian lama. Sejarah tidak boleh dinafikan.
"Saya juga dimaklumkan, beliau (Azmin) mencadangkan nama saya untuk jadi Menteri Besar tetapi ia di peringkat permulaan kerana kemudiannya sebagaimana proses biasa, akhirnya parti menamakan saya antara calon dan sebelum nama saya diangkat," jelasnya.
Sementara itu, Amirudin yakin bahawa beliau akan kekal sebagai Menteri Besar jika Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) berjaya menang di Selangor pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.
"Saya berkeyakinan selepas Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim umumkan perkara ini sebanyak tiga kali termasuk dalam perhimpunan pengumuman calon PKR di Shah Alam baru-baru ini.
"Cuma yang pentingnya kita kena menang dan pastikan menang dengan majoriti yang selesa atau paling kurang majoriti muda," ulasnya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN:
Saya tidak sehebat Khalid Ibrahim atau Azmin Ali - Amirudin
Selangor kekal batalkan projek PJD Link
Amirudin bukti keupayaan pacu Selangor jadi negeri termaju
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!