Lelaki dakwa kes video lama babit calon PRN belum selesai
PADANG SERAI - Seorang lelaki tampil menjelaskan status kes mahkamah melibatkan seorang calon parti yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah.
Pengadu tersebut, Zaharin Osman merujuk kepada kenyataan sidang calon tersebut pada 2 Ogos lalu berkaitan satu video yang telah tular di media sosial dan mendakwa sebagai isu lama serta sudah selesai.
Dakwanya, individu di dalam video yang telah ditular adalah dirinya dan menjelaskan kes berkenaan masih belum selesai.
"Dia menyatakan pada 28 Mac 2023, mahkamah membebaskan dia sedangkan mahkamah hanya melepaskan tanpa membebaskan beliau atas kesilapan teknikal saya sebagai pengadu tidak disapina sepanjang tarikh-tarikh sebutan di mahkamah dan kes ini belum ditetapkan perbicaraan lagi kerana saya dan saksi tidak pernah disapinakan untuk hadir di mahkamah," katanya pada sidang akhbar di Taman Ria, dekat sini pada Isnin.
Zaharin berkata demikian bagi menjawab kenyataan calon tersebut yang menjelaskan kes berkenaan telah pun selesai pada Mac lalu selepas melalui beberapa siri perbicaraan selama 18 bulan.
Menurutnya lagi, pegawai penyiasat telah mengambil keterangan semula darinya dan tertuduh juga telah diambil keterangan semula dan dimaklumkan juga kes tersebut akan dituduh pada bila -bila masa sahaja.
"Berkenaan video rakaman hanya berdurasi 19 saat itu saya tidak tahu siapa yang edit dan video panjang berdurasi lapan minit lebih ada pada pegawai penyiasat yang lebih jelas perlakuan dia terhadap diri saya ini.
"Tertuduh juga mendakwa bahawa saya menceroboh pejabat Bersatu tetapi kenapa pihak polis tidak mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap saya sehingga hari ini jikalau dengan jelas saya bersalah," dakwanya lagi.
Pada 3 Ogos lalu, calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Lunas, Khairul Anuar Ramli yang juga Ketua Penerangan Bersatu Kedah dalam satu kenyataan akan memfailkan saman terhadap pihak yang menyebarkan klip video mendakwa dirinya menyerang seorang warga emas.
Beliau berkata, rakaman yang tular tersebut merupakan kejadian yang berlaku tiga tahun lepas, bukannya kejadian baharu.
Menurutnya, penyebaran semula video lama itu dipercayai cubaan pihak tertentu untuk menjejaskan imejnya menjelang kempen PRN.
“Apa yang berlaku tidak seperti digambarkan, saya berusia 42 tahun dan lelaki itu hanya empat tahun lebih tua daripada saya,” ujarnya.
Jelasnya, kejadian itu berpunca daripada pertelingkahan oleh individu terbabit yang datang ke pejabatnya di Taman Ihsan, Lunas sehingga berlaku kekecohan, seterusnya kes berkenaan dibicarakan di mahkamah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!