Tok Mat harap penyelarasan pencen veteran ATM dilaksana 2024

Mohamad ketika berucap pada sesi santai minum petang bersama calon BN DUN Kota pada Isnin.
Mohamad ketika berucap pada sesi santai minum petang bersama calon BN DUN Kota pada Isnin.
A
A
A

REMBAU - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap penyelarasan pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat dilaksanakan pada tahun depan.

Beliau berkata, kementerian itu telah menghantar kertas cadangan mengenai perkara berkenaan bagi perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pihak terlibat.

"Dengar khabar hari ini ada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri untuk bukan sahaja berkenaan penyelarasan pencen tetapi penyelarasan gaji penjawat awam kerana sudah lebih 10 tahun tidak dikaji.

"Jadi saya pun tak tahu apa hasil mesyuarat ini, saya harap ia akan dibincangkan dengan baik. Kita harap supaya penyelarasan gaji, pencen warga ATM sebelum 2013 dapat diberi perhatian dan sedikit adjustment (pelarasan), kalau tak banyak sikit pun tak apa, asalkan ada diberikan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang bersama calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota pada Isnin.

Dalam pada itu Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, banyak peringat perbincangan yang perlu dibuat termasuk oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum pelarasan pencen dan gaji dapat dilaksanakan.

Namun beliau tidak menolak kemungkinan ia dapat dibentangkan pada sesi pembentangan Bajet 2014 akhir tahun ini.

"Kajian ini bukan perkara mudah, ambil masa melibatkan banyak pihak dan perlu dibuat sebaik mungkin.

"(Bagi mengelakkan) Ada perkara-perkara terlepas pandang yang akan jadi sebahagian masalah masa depan," ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, JPA akan menyemak semula perbezaan amaun pencen antara veteran ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 dan yang bersara mulai 1 Januari 2013.

Ia susulan pengumuman Anwar baru-baru ini yang memaklumkan, pegawai awam bersara sebelum 2013, bayaran pencen dikembalikan kepada amaun Disember 2012 dan pegawai awam yang bersara mulai 2013 pula, bayaran pencen dikembalikan kepada amaun asal semasa bersara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!