Rakyat Kelantan tidak perlu takut dengan DAP - Steven
KOTA BHARU - Rakyat Kelantan tidak perlu takut dengan kerjasama DAP, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kerana parti ini tidak mengancam agama Islam.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, parti itu juga tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan.
"Dia (Pas) cakap satu UMNO bermakna satu undi untuk DAP. Padahal DAP tidak bertanding di Kelantan.
"Yang bertanding BN dan PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan," katanya ketika berucap pada Ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Jalan Kebun Sultan di sini pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Steven memberitahu, Pas tidak mempunyai modal apabila kerap bercakap mengenai DAP ketika berkempen untuk PRN.
"Saya datang ke sini bukan untuk menghentam, Saya selalu datang ke sini. Makanannya sedap, rakyatnya cantik, 'handsome'," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan II, berkata, sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih ekonomi kini meningkat dan kadar pengangguran turun mendadak.
"Kerajaan Perpaduan dapat menarik pelaburan luar masuk ke negara ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!