Larangan isu 3R perlu definisi jelas

Dalam keghairahan berkempen, mana-mana pihak ditegah daripada mengeluarkan sebarang kenyataan atau tindakan yang yang menyentuh isu 3R. - Foto 123RF
Dalam keghairahan berkempen, mana-mana pihak ditegah daripada mengeluarkan sebarang kenyataan atau tindakan yang yang menyentuh isu 3R. - Foto 123RF
A
A
A

KEMPEN pilihan raya negeri (PRN) telah masuk hari kesembilan pada Ahad yang mana para pengundi berdaftar di enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan akan membuat penilaian dan pertimbangan untuk memilih calon daripada parti mana yang mewakili dan menguruskan pentadbiran negeri mereka.

Di Malaysia, proses pilihan raya yang berasaskan kepada prinsip ‘first past the post’ yang mana seseorang calon yang mendapat undi terbanyak di antara calon-calon yang bertanding bagi kawasan tersebut akan diisytiharkan sebagai pemenang dan akan mewakili penduduk bahagian yang dimenanginya.

Dalam usaha untuk mendapat undi, biasanya calon-calon daripada mana-mana parti politik akan berusaha untuk memenangi hati rakyat dengan membuat macam-macam tawaran yang boleh memberi kelebihan kepada mereka.

Pendek kata, menang dulu kemudian baru fikirkan tawaran itu boleh dilaksanakan atau tidak.

Namun, dalam keghairahan berkempen, mana-mana pihak ditegah daripada mengeluarkan sebarang kenyataan atau tindakan yang yang menyentuh isu 3R (Raja, Agama dan Kaum).

Jika diteliti, tegahan atau larangan ini merupakan satu langkah proaktif bagi mengelakkan sebarang provokasi yang boleh menggugat keharmonian dan kestabilan kaum.

Dari sudut pandangan lain, larangan menyentuh isu 3R ini perlu diterjemahkan dengan definisi yang jelas supaya tidak menimbulkan kekeliruan pada masa depan dan tidak hanya terhad dalam satu-satu situasi sahaja sama ada dalam kempen pilihan raya, dunia maya atau dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Meskipun telah ada akta-akta khusus yang boleh diambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak yang mencetuskan ketegangan dalam isu 3R seperti Akta Hasutan 1948, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan enakmen-enakmen di negeri-negeri namun ia lebih menjurus dari sudut jenayah.

Artikel Berkaitan:

Namun, isu-isu membabitkan 3R ini mungkin tidak semuanya bersifat negatif atau perlu dilihat sebagai sesuatu yang tabu.

Ada juga isu-isu 3R bahaskan dan diperdebatkan dalam konteks positif dari sudut patriotisme, ilmiah serta apa-apa perkara yang berkaitan dengan fakta sejarah.

Malah, kalau diteliti secara mendalam, pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang menduduki tangga ke 27 berdaya saing di peringkat global pada hari ini bermula dengan isu-isu membabitkan 3R.

Daripada penentangan Malayan Union pada tahun 1946, kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957 sehingga wujudnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970, semuanya ada mempunyai perkaitan rapat dengan isu-isu 3R.

Apa yang dikhuatiri ialah berkemungkinan ada pihak tertentu yang cuba menyalahgunakan atau memanipulasikan larangan membangkitkan isu 3R ini sebagai ‘senjata’ untuk melumpuhkan atau menutup mulut pihak lain bagi kepentingan tertentu.

Mungkin kita boleh bayangkan keadaan yang mana seseorang individu bernama X bercakap mengenai memelihara kedudukan agama Islam, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, mempertahankan kedudukan raja-raja Melayu, kedudukan bahasa Melayu.

Bagaimanapun, dari sudut lain, ada seorang individu lagi bernama Y, bangkit tidak berpuas hati dengan tindakan X dan menganggapnya menyinggung perasaan kaum dan penganut agama lain serta mendakwa boleh mencetuskan kegelisahan dan ketidakharmonian masyarakat.

Jadi, apa formula nak ingin diguna pakai dalam situasi ini sekiranya X dan Y masing-masing terus-menerus mengetengahkan pandangan mereka secara terbuka sama ada di khalayak ramai atau di media-media sosial. Siapakah yang betul dan siapakah yang salah?

Hakikatnya, perkara yang berkaitan agama Islam, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, bahasa Melayu dan kedudukan raja-raja Melayu adalah termaktub dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan yang wajib dipertahankan oleh setiap warganegara Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

* Abdul Yazid Alias ialah Penolong Editor Sinar Harian