Tolong bertanggungjawab ketika mengendalikan beg penumpang
SEBELUM ini, Merak Jalanan pernah menulis dan membuat liputan mengenai kerjaya di belakang tabir kakitangan yang bekerja di sebuah syarikat penerbangan tambang murah di dalam negara.
Melihat sendiri bagaimana mereka bekerja terutama di bahagian pemindahan bagasi ke dalam ‘perut’ kapal terbang sememangnya amat mengejutkan.
Ini kerana selain tidak dikendalikan dengan cermat, beg-beg penumpang dilambung dan dicampak ke dalam kotak atau bekas yang telah disediakan.
Jadinya tidak hairanlah sekiranya sebelum ini ramai penumpang yang menyuarakan ketidakpuasan hati masing-masing dengan keadaan beg yang pecah dan sebagainya.
Hal yang sama turut berlaku kepada Merak Jalanan baru-baru ini di mana setibanya di tanah air, bagasi yang sebelum ini elok berkunci dengan ‘mangga’ dan mempunyai tiga zip, kesemuanya telah hilang.
Selang seminggu selepas itu Merak Jalanan ada terbaca di media sosial seorang penumpang muat naik keadaan bagasinya yang pecah dan salah satu rodanya telah hilang.
Persoalannya, adakah kesemua pekerja syarikat penerbangan tidak berasa bersalah dan tidak mempunyai perasaan apabila melihat bagasi-bagasi penumpang rosak?
Bagaimana pihak pengurusan syarikat tersebut mengendalikan kes-kes seperti ini kerana ini bukanlah pertama kali bagasi penumpang rosak.
Ya, tidak dinafikan sehari para pekerja ini perlu menguruskan beribu-ribu bagasi penumpang tetapi apabila mengendalikan ‘harta’ orang awam rasanya pekerja-pekerja ini perlu lebih berhati-hati.
Apa yang disarankan kepada penumpang ialah buat laporan dan buat tuntutan sekiranya ada mengambil insurans.
Yang pasti, proses tuntutan tersebut akan mengambil masa yang lama dan sudah tiba masanya pengurusan tertinggi syarikat penerbangan mengambil berat isu ini kerana ia bukanlah kali pertama perkara seumpamanya berlaku.
Habis itu, beg Merak Jalanan yang rosak siapa pula nak ganti?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!