Notis pengusiran bekas pekerja Ladang Bukit Jalil ditarik balik

Khalid Abdul Samad
Khalid Abdul Samad
A
A
A

PUTRAJAYA - Notis merah pengusiran 41 keluarga bekas pekerja Ladang Bukit Jalil ditarik balik, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Ditanya mengenai laporan rintihan 41 bekas pekerja ladang Bukit Jalil yang menerima notis merah agar mengosongkan tanah kerajaan yang dijadikan kediaman, Khalid berkata penarikan balik notis itu dimaklumkan dalam mesyuarat pasca Kabinet kementerian itu hari ini.

"Kita akan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik kepada masalah 41 keluarga tersebut,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perhimpunan dan berbuka puasa bersama warga Kementerian Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Mengenai sambutan dingin di bazar Ramadan Jalan Raja, Khalid berkata, ia akan bertambah baik pada minggu kedua Ramadan.

Katanya peniaga berdaftar sebelum ini adalah 50 dan kini sekarang sudah 150. "Bazar itu adalah lebih kepada tempat membeli-belah dan bukannya tempat membeli juadah berbuka puasa,”katanya.

Pada 3 April lepas, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, keputusan menempatkan peniaga bazar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid India ke Jalan Raja adalah selaras dengan penyusunan semula.

Ditanya mengenai kemajuan kertas Kabinet untuk cadangan mengurangkan keluasan pembangunan berhampiran Taman Rimba Kiara, Khalid berkata kertas itu hampir siap untuk pemeriksaan akhir sebelum ia diserahkan kepada kementerian lain yang berkaitan sebelum dikemukakan kepada Kabinet.

Menurut laporan sebelum ini, rancangan yang disemak itu termasuk blok 17 tingkat 204 unit rumah mampu milik untuk rumah panjang Bukit Kiara, dan empat blok kondominium 41- hingga 45 tingkat. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!