Undi awal tumpuan utama pada Selasa
HARI ini bermulanya undi awal bagi pasukan keselamatan negara termasuk anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi pilihan raya negeri (PRN).
Undi awal dilakukan bagi membolehkan pasukan keselamatan membantu dan mengawal proses PRN pada 12 Ogos ini berjalan dengan aman serta lancar.
Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 49,660 anggota ATM dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing akan terlibat dengan pengundian awal itu.
Sementara itu, 1,362 anggota polis dan 35 anggota tentera bersama pasangan akan terbabit dengan proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu.
Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap agar semua yang terlibat dapat menggunakan kuasa dengan baik untuk memilih wakil serta kerajaan negeri yang kukuh.
Beliau berkata, mereka juga perlu menggunakan amanah yang diberikan untuk memilih wakil yang lebih menggarap permasalahan rakyat dan kerajaan stabil.
“Saya ucapkan selamat mengundi awal buat semua anggota dan pegawai ATM dan PDRM. Saya mendoakan semoga proses pengundian yang akan berlangsung esok dapat berjalan lancar dan sempurna.
“Buatlah pilihan yang terbaik untuk membela nasib kalian dan keluarga, Insya-ALLAH,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.
Sebagai makluman, pusat pengundian awal bagi PRN di enam negeri dan PRK Parlimen Kuala Terengganu akan dibuka serentak pada jam 8 pagi dan akan ditutup secara berperingkat mengikut kedudukan kawasan pusat mengundi.
SPR sebelum ini menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRN melibatkan enam negeri dan PRK Kuala Terengganu masing-masing pada 29 Julai dan 8 Ogos, manakala hari pengundian pada 12 Ogos ini.
PRN ini melibatkan 36 kerusi DUN di Kedah; Kelantan (45); Terengganu (32); Pulau Pinang (40) Selangor (56) serta 36 DUN di Negeri Sembilan.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari penamaan calon pada 29 Julai lepas dan akan berakhir pada 11.59 malam, 11 Ogos.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!