Polis Pulau Pinang pantau kegiatan judi libatkan PRN
GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang mengesan wujud beberapa kumpulan kecil yang menjalankan aktiviti judi haram berhubung keputusan pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan pada 12 Ogos ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, ia hanya melibatkan skala kecil dan bukannya sindiket perjudian.
Menurutnya, polis bagaimanapun memantau rapi sepanjang tempoh berkempen ini agar tidak berlaku pertaruhan yang melibatkan skala besar sehingga mempengaruhi keputusan pilihan raya.
"Setakat yang kita pantau, memang ada tetapi dalam skala yang kecil. Bertaruh dalam kalangan rakan-rakan. Tidak melibatkan sindiket perjudian yang boleh mempengaruhi jumlah undi atau keputusan pilihan raya nanti.
"Buat masa ini, tiada tangkapan dibuat berhubung perkara ini namun pemantauan rapi masih dijalankan sehingga tamat pilihan raya," katanya selepas meninjau proses undi awal di Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Selasa.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Dr Azmi Sharom.
Beliau berkata, sejak 29 Julai lalu, polis berpuas hati dengan proses berkempen oleh semua parti politik dan calon yang bertanding.
"Tiada tangkapan dibuat melibatkan kesalahan pilihan raya setakat ini.
"Sementara itu, bagi kawasan 'hotspot' pula, seperti yang saya beritahu sebelum ini, ada dua kawasan iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas (di bawah Parlimen Balik Pulau) dan Permatang Pasir (Parlimen Permatang Pauh).
"Tiada kes dilaporkan di kedua-dua 'hotspot' ini, insiden kecil tu ada, tetapi tidak sampai menggugat ketenteraman dan kegusaran awam. Semuanya dalam kawalan," katanya.
Dalam pada itu, seramai 11,294 pengundi membabitkan pegawai dan anggota polis serta tentera terlibat dalam undi awal sempena pada PRN di Pulau Pinang.
Daripada jumlah itu,seramai 6,451 adalah pengundi awal membabitkan pegawai dan anggota polis dan 4,843 tentera di 28 pusat mengundi di seluruh negeri.
Seramai 217 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi melancarkan perjalanan proses pengundian awal PRN kali ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!