Amanah Johor sedia pertahankan Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram
JOHOR BAHRU - Parti Amanah Negara (Amanah) bersedia mempertahankan kemenangan parti itu di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 9 September ini.
Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, Amanah Johor yang turut mewakili Kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) telah menyusun gerak kerja jentera di kedua-dua kawasan tersebut.
"Kedua-dua kerusi yang ditinggalkan ini, mesti Amanah dapatkan semula. Secara jelas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kedua-dua kerusi tersebut 'incumbent' kepada Amanah.
"Tiada istilah kedua-dua kerusi merupakan kerusi selamat kerana keadaan politik pada masa kini agak berbeza. Kita perlu ada kerjasama PH dan BN secara konsisten seperti mana yang ditunjukkan dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri ketika ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mesyuarat Amanah Johor di Kangkar Pulai di sini pada Isnin malam.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad dan Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat.
Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata, jentera pilihan raya yang disusun cukup penting bagi memastikan PRK berjalan lancar dan memberikan gambaran penyatuan kepada rakyat Johor.
"Johor ini berbeza dengan negeri lain. Disebabkan itu, Amanah Johor harap kempen dalam tempoh PRK kelak, lebih harmoni dan pengundi dapat melakukan pilihan bagi memilih wakil rakyat di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.
"Kempen secara berhemah menjadi salah satu agenda kepada Amanah yang mewakili Kerajaan Perpaduan," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos, manakala pengundian awal 5 September dan hari pengundian pula pada 9 September.
PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan ekoran kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.
Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.
ARTIKEL BERKAITAN:
PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram pada 9 September - SPR
[VIDEO] Amanah Johor harap anak tempatan jadi calon PRK
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!