Cuaca cerah di kebanyakan lokasi pusat pengundian awal pagi ini
KUALA LUMPUR - Cuaca pagi Selasa rata-rata dilaporkan cerah dan baik di kebanyakan lokasi pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
Ini membolehkan proses pengundian awal berjalan lancar dengan anggota tentera, polis dan pasangan masing-masing keluar awal bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Sebanyak 260 pusat mengundi awal dengan 377 tempat mengundi atau saluran awal dibuka serentak bermula 8 pagi ini serta tiga pusat mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu yang diadakan serentak.
Di Terengganu, cuaca pagi ini dilaporkan cerah di kebanyakan kawasan walaupun beberapa lokasi dilaporkan mengalami hujan lebat awal pagi tadi (subuh) namun cuaca kembali cerah.
Di Negeri Sembilan, cuaca cerah setakat jam 10 pagi ini, terutama di lokasi pengundian di Pangkalan Udara Sendayan, Balai Polis Sikamat dan Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) serta Kem Segenting, Port Dickson.
Antara pemimpin yang hadir di lokasi berkenaan bagi meninjau proses pengundian awal ialah Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Di Kelantan, tinjauan mendapati cuaca cerah dan baik memudahkan proses mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang, rata-rata anggota beratur seawal 7.30 pagi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
Selain itu, tinjauan di Kem Batalion Ke-8 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pengkalan Chepa dan Kem Desa Pahlawan Kok Lanas, Kota Bharu mendapati anggota tentera dan pasangan terlibat keluar awal untuk mengundi.
Di Selangor, tinjauan di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di Shah Alam dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di Kuala Selangor mendapati proses pengundian awal berlangsung dengan baik pada pagi ini dengan cuaca cerah di sekitar kedua-dua kawasan itu.
Sementara itu, di Kedah, hujan renyai-renyai dilaporkan di Alor Setar selama 30 minit bermula jam 7 pagi tadi namun cuaca kembali cerah dan proses pengundian awal di Pusat Pengundian Awal IPK Kedah setakat 10 pagi ini berjalan lancar.
Keadaan sama juga dilaporkan di Pulau Pinang dan seramai 11,294 pengundi membabitkan pegawai dan anggota polis serta tentera dan pasangan dijangka akan menunaikan tanggungjawab mengundi awal di 28 pusat mengundi di seluruh negeri.
Menurut laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Daftar Pemilih Pilihan Raya yang digunakan untuk PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan serta PRK Kuala Terengganu adalah daftar pemilih terkini yang dikemas kini sehingga 21 Jun 2023.
Ia melibatkan undi awal 49,660 anggota tentera dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing di enam negeri yang terlibat PRN.
Seramai 1,362 anggota polis dan 35 anggota tentera bersama pasangan akan terlibat dengan proses pengundian awal bagi PRK Kuala Terengganu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!