Pekerja kilang maut motosikal bertembung lori
ALOR GAJAH - Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Ayer Pa’abas di sini pada petang Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, mangsa, Muhammad Aiman Rosli,19, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15 dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Lendu Bakti.
Menurutnya, setiba di selekoh motosikal mangsa bertembung dengan sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 39 tahun dari arah Pekan Lendu menghala ke Ayer Limau.
"Akibat dari perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan dan disahkan meninggal pada jam 12.30 malam," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat sebelum dituntut waris keluarga.
"Polis memohon kepada orang ramai yang menyaksikan kejadian untuk tampil membantu siasatan," katanya.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!