Penduduk pulau DUN Kelaboran inginkan kemudahan asas lebih baik
TUMPAT - Penduduk 14 kampung di gususan pulau-pulau yang berpenghuni di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelaboran berharap perkampungan mereka dibekalkan dengan kemudahan asas yang lebih baik demi keselesaan kepada kehidupan harian penduduk.
Antara 14 kampung di gugusan pulau berpenghuni di Delta Sungai Kelantan yang memerlukan kemudahan asas seperti itu ialah Pulau Suri, Pulau 100, Pulau Beluru, Teluk Renjuna, Pantai Baru, Pulau Tongkang, Pulau Haji Nik Mat dan Pantai Timun.
Penduduk kampung yang ditemui berkata kemudahan diperlukan ialah bot awam, sebuah sekolah menengah, jeti konkrit serta jalan simen konkrit atau bertar.
Penduduk dari Pulau Tongkang, Yusof Salleh, 76, berkata, walaupun rata-rata penduduk kampung di gugusan pulau-pulau berkenaan mempunyai bot masing-masing namun mereka memerlukan bot awam untuk kegunaan harian kerana kebiasaannya bot peribadi digunakan untuk mencari rezeki di sungai atau di laut.
"Boleh dikatakan hampir semua penduduk di sini memiliki bot sendiri tetapi belum ada bot awam yang diberikan oleh kerajaan Pusat atau negeri.
"Bot awam amat penting untuk beri keselesaan sebab bot kami ini tidak ada bumbung, malah kalau boleh setiap jeti utama ada bot awam untuk memudahkan urusan keluar masuk penduduk ke daratan dan sebagainya," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Penduduk di Pantai Timun, Samsudin Yusof, 53, pula berkata, apabila berlaku kematian mereka memerlukan bot yang lebih panjang sekurang-kurangnya 28 hingga 29 kaki bagi memuatkan jenazah dan tiga pengiring untuk membawa jenazah ke tanah perkuburan.
"Kadangkala kami terpaksa meminta bantuan penduduk di pulau seberang untuk mendapatkan bot yang sesuai untuk membawa jenazah ke Tanah Perkuburan Islam Kelaboran dan Teluk Renjuna (Tumpat) dan Kampung Che Latif (Kota Bharu) yang mengambil masa kira-kira 30 minit," katanya.
Mohd Nizam Yusoff, 25, juga dari Kampung Pantai Timun pula berkata, pembinaan jeti konkrit amat diperlukan untuk menggantikan jeti kayu di kawasan itu yang sudah uzur dan berbahaya untuk digunakan.
Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) DUN Kelaboran yang juga anak jati gugusan pulau, Rosdi Razali berkata, beliau akan berusaha membantu lebih 5,000 penduduk kampung di pulau yang memerlukan pembangunan seimbang dari segi prasarana dan sebagainya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan, Rosdi akan menentang penyandang dari Pas, Mohd Adanan Hassan dengan pertembungan satu lawan satu bagi DUN Kelaboran. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!