Undi awal: Tunai tanggungjawab meskipun bertongkat, berkerusi roda
REMBAU - Meskipun pergerakannya terbatas dan terpaksa berkerusi roda, ia tidak dijadikan alasan sekali gus bukan penghalang kepada seorang anggota tentera untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pilihan raya negeri (PRN).
Koperal Raja Nur Izzati Raja Ali, 30, berkata, walaupun berhadapan dengan kekangan kesihatan, wanita yang berasal dari Gemas itu tetap bersemangat untuk turun mengundi bagi memilih pemimpin Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
"Ini kali kedua saya mengundi di sini. Alhamdulillah, proses mengundi awal selesai cepat dan mudah dengan bantuan pegawai SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) bertugas.
"Nasihat saya kepada semua rakyat negara ini, keluar mengundi dan tunaikan kewajipan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melaksanakan undi awal di Pangkalan Udara Sendayan.
Menceritakan situasi yang berlaku kepadanya, Raja Nur Izzati yang bertugas di bahagian pentadbiran di kem itu memaklumkan, dia mengalami kemalangan pada 2021 ketika menunggang motosikal dan menyebabkan kecederaan di bahagian pinggang, pinggul dan bahu.
Sementara itu, Kapten Mohd Akmal Juhafiq Jumani, 32, turut tidak melepaskan peluang untuk mengundi meskipun bertongkat akibat kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke kampung di Perak, Mei lalu.
"Saya memang tidak mahu ketinggalan untuk mengundi, walaupun dalam keadaan kesihatan kurang mengizinkan, saya tetap bersemangat.
"Sebagai petugas barisan hadapan negara, saya berpendapat tidak wajar sekiranya tidak menunaikan tanggungjawab kepada negara," katanya yang bertugas di Bahagian Markas Pendidikan dan Latihan Udara di kem tersebut.
Sebagai rekod, seramai 907 anggota berdaftar sebagai pengundi awal di kem berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!