Kes curi 13 lembu di Lipis, empat suspek ditahan di Jerantut


Lembu milik penternak dari Felda Sungai Koyan 1, Lipis yang berjaya ditemui kembali susulan penahanan empat suspek di Jerantut pada Isnin.
Lembu milik penternak dari Felda Sungai Koyan 1, Lipis yang berjaya ditemui kembali susulan penahanan empat suspek di Jerantut pada Isnin.
A
A
A

LIPIS - Kes kecurian 13 ekor lembu milik seorang penternak di Felda Sungai Koyan 1 di sini minggu lalu berjaya diselesaikan susulan penahanan empat lelaki di sebuah kandang di Kampung Paya Gunung, Jerantut Feri, Jerantut pada Isnin.

Suspek berusia 27 hingga 48 tahun yang ditahan termasuk dua beradik yang juga pemilik kandang, broker dan penjual lembu curi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, ketika tangkapan dilakukan, polis turut menahan dua pembeli yang berada di lokasi untuk proses dokumentasi dan diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, susulan penahanan suspek itu, polis berjaya menemui kembali 13 ekor lembu milik mangsa yang hilang serta merampas sebuah lori jenis Isuzu, enam telefon dan wang tunai RM13,200.

"Siasatan dilakukan susulan laporan polis dibuat penternak lembu berusia 37 tahun mendakwa kerugian kura-kira RM35,000 selepas 13 ekor lembunya hilang disyaki dicuri dalam kejadian antara Sabtu hingga Ahad lalu.

"Kejadian disedari selepas pengadu menemui empat ekor lembu pengsan disyaki kesan suntikan ubat pelali lalu segera memeriksa kandangnya sebelum mendapati 13 ekor lembu berusia satu hingga tiga tahun hilang," katanya melalui satu kenyataan pada Selasa.

Azli berkata, mangsa yang menternak lembu lebih 20 tahun dan memiliki 228 ekor lembu mendakwa mengenali lembu-lembunya berdasarkan tanda khas iaitu kesan gunting pada telinga kiri selain tag pada telinga sebelah kanan.

Artikel Berkaitan:

Kandang lembu milik dua beradik yang disyaki digunakan untuk menyimpan lembu curi.
Kandang lembu milik dua beradik yang disyaki digunakan untuk menyimpan lembu curi.

"Susulan kejadian lelaki itu membuat laporan polis dan meminta bantuan kenalan untuk membantu mencari lembu-lembunya yang hilang.

"Pengadu kemudiannya menerima maklumat daripada kenalan kumpulan Whatsapp tentang penjualan lembu di sebuah kandang di Kampung Paya Gunung, Jerantut Feri, Jerantut.

"Berdasarkan gambar yang dikongsi, mangsa syaki lembu-lembu yang hendak dijual itu milikya," katanya.

Beliau berkata, kira-kira jam 11 pagi pada Isnin, mangsa bersama rakan pergi ke kandang tersebut dan mendapati lembu-lembu itu dikenal pasti miliknya berdasarkan saiz, muka dan tanda khas kesan gunting pada telinga kiri dan tag di telinga kanan.

"Bertindak atas maklumat itu, pihak polis segera melakukan tangkapan terhadap suspek.

Peralatan yang disyaki digunakan dalam kegiatan curi lembu yang ditemui bersama suspek ketika ditahan pada Isnin.
Peralatan yang disyaki digunakan dalam kegiatan curi lembu yang ditemui bersama suspek ketika ditahan pada Isnin.

"Semakan rekod mendapati pemilik kandang, dua beradik berusia 27 dan 38 tahun turut memiliki rekod lampau berkait kes dadah.

"Seorang lelaki yang disyaki penjual lembu curi yang ditahan turut memiliki rekod jenayah (cubaan curi lembu) dan dadah," jelasnya.

Azli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!