Mangsa rentung baru kerja tiga hari
MANJUNG - "Dia baru masuk kerja tiga hari lepas, tak sangka akan jadi begini," luah Ramana, 40, saudara kepada salah seorang mangsa rentung dalam nahas kereta di Kilometer 220 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara pada Isnin.
Ramana berkata, sepupunya, B Chandrasegaran, 50, yang maut dalam kejadian itu diterima bekerja dengan syarikat kontraktor pembinaan untuk Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut minggu lalu.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu, mendiang dan rakan sekerjanya berulang alik menaiki kereta bersama dari Lumut ke kediaman Ipoh.
"Sepupu saya sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori dan penternak kambing di rumahnya di Kampung Tersusun, Jelapang.
"Sejak mula bekerja Sabtu lalu, memang itulah rutinnya, berulang alik setiap hari dari Lumut ke Jelapang," katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Seri Manjung pada Selasa.
Dalam kejadian dilaporkan jam 5.11 petang itu, empat lelaki warga tempatan rentung, sementara seorang terselamat selepas kereta dinaiki terbakar berhampiran susur keluar Changkat Cermin dekat sini.
Selain Chandrasegaran, tiga lagi mangsa maut ialah Toon Ying Lup, 45; Chai Voon Loong, 56, dan seorang lagi mangsa yang belum dapat dipastikan identitinya.
Mangsa terselamat, Mohammed Sidek Mohammed, 54, mengalami cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Seri Manjung.
Dalam pada itu, suasana pekarangan hospital bertukar sayu apabila ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan perasaan sedih sebaik semua mayat dibawa keluar.
Keempat-empat mayat dipindahkan ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk menjalani proses bedah siasat.
Polis sebelum ini memaklumkan, kenderaan jenis Proton Saga Iswara dinaiki mangsa hilang kawalan sebelum terbabas sendiri melanggar besi penghadang jalan.
Keadaan itu mengakibatkan kereta dinaiki lima pekerja kontrak terbabit masuk ke dalam longkang hingga menyebabkan terbakar.
Operasi mengeluarkan mangsa yang dijalankan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan dibantu Balai Ayer Tawar tamat pada jam 7.20 malam.
ARTIKEL BERKAITAN: Empat lelaki rentung: Kereta dipercayai terbabas sendiri
Empat lelaki rentung kereta terbabas, terbakar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!