Amirudin bukti keupayaan pacu Selangor jadi negeri termaju
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari membuktikan keupayaannya memacu Selangor menjadi negeri termaju dan penyumbang utama kepada kemakmuran negara sejak menerajui Selangor pada 2018.
Amirudin berkata, beliau juga berjaya mengadun antara tradisi pengurusan ekonomi dan kewangan dilaksanakan Menteri Besar terdahulu sehingga Selangor merekodkan peningkatan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 25.5 peratus tahun lepas.
"Selama 15 tahun Pakatan Harapan (mentadbir Selangor), yang paling tinggi adalah pada tahun 2022, tahun lepas meningkat 0.7 peratus daripada 24.8 kepada 25.5 peratus.
"Tetapi (sebelum itu) meningkat daripada 1 peratus kepada 1.1 peratus, zaman bila? Zaman (bekas Menteri Besar) Datuk (Dr Mohamad) Khir Toyo yang menjadi Menteri Besar, dari Barisan Nasional (BN).
"Sebab itu tradisi kemajuan pembangunan mengisi kemerdekaan disambung dan dicanai bersama-sama dengan idea-idea baharu dalam Pakatan Harapan seperti saya bentangkan dalam Rancangan Selangor Pertama tahun lepas, ini akan menjadi satu gabungan yang paling mantap, paling kukuh untuk bawa negeri Selangor di masa depan," kata Amirudin.
Beliau berucap pada Ceramah Kita Selangor Arus Merah Kuning di Dataran Sadiman, Bukit Changgang pada Isnin malam yang turut dihadiri calon Dengkil dari BN, Noorazli Said dan beberapa pemimpin BN dari luar Selangor.
Amirudin menambah, beliau percaya masa depan Selangor akan lebih cerah sekiranya gabungan perpaduan di Selangor dipertahan sekali gus Kerajaan Persekutuan dapat terus diperkukuhkan.
"Realiti ini yang ditakuti pembangkang di Selangor iaitu Perikatan Nasional, sebab itu mereka hendak jadikan pilihan raya negeri (PRN) sebagai platfom untuk goyahkan Kerajaan Persekutuan, inilah serangan-serangan diberikan sepanjang pilihan raya ini.
"Baru dua tiga hari ini dia (kerap) menyerang negeri Selangor tapi itu pun benda-benda yang sudah bertahun tahun kita ulang dan kita jawab.
"Kalau isu pun isu kitar semula, pemimpin-pemimpin (bertanding PRN) pun kitar semula, ini bukan bawa Selangor baharu, ini bawa Selangor ke belakang, ini bawa Selangor makin mundur, ini akan merosakan negeri kita, jangan hancurkan negara kita," katanya.
Beliau sehubungan itu berkata, walau siapa calon yang diletakkan PN di negeri itu mereka tidak wajar diberikan tempat sebaliknya kemajuan Selangor akan terus ke depan jika memilih calon Kerajaan Perpaduan.
"Orang ini walau siapa pun latar belakang dia jangan bagi bertapak di negeri Selangor, jangan bagi menang di Dengkil. Undi sedara Azli (Noorazli Said di Dengkil) dalam pilihan raya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!