Sanusi mungkin 'terperangkap' dalam kesesakan - Ayob Khan
SHAH ALAM - Polis menafikan wujud cubaan ‘memerangkap’ sehingga mengakibatkan ancaman keselamatan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor.
Sebaliknya, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, istilah ‘perangkap’ yang digunakan mungkin merujuk kepada tersekat dalam kesesakan lalu lintas.
“Istilah yang digunakan (ialah) ‘terperangkap’.
“Dia (Sanusi) mungkin terperangkap dalam kesesakan kot. Itu yang tak dapat pergi kempen.
“Bila nak pergi syarahan (ceramah) memang ramai orang. Jadi dia terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Mungkin itu maksud ‘perangkap’,” katanya dalam sidang media selepas meninjau proses undi awal di Pusat Mengundi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Selasa.
Terdahulu, media melaporkan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa Sanusi dinasihatkan agar tidak hadir ke ceramah kempen pilihan raya bagi menjamin keselamatan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu.
Sementara itu, Ayob Khan memaklumkan setakat ini polis tidak menerima laporan daripada Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan terhadap Sanusi.
“Setakat ini laporan tak dibuat. Itu mungkin hanya kenyataan (nak buat laporan),” tambahnya.
Semalam, Vincent dilapor mengemukakan saman terhadap Sanusi dengan menuntut pampasan ganti rugi sebanyak RM200 juta.
Ia susulan kenyataan berunsur fitnah didakwa dibuat Sanusi mengenai projek Gerbang Maritim Selangor (SMG). - Awani
ARTIKEL BERKAITAN:
Sanusi dinasihat tidak hadir ceramah kerana ada 'perangkap'
Sanusi mohon maaf, perjelas dakwaan ’direhatkan’
Vincent Tan saman Sanusi RM200 juta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!