Jasa, pengorbanan pesara polis dikenang
AMPANG - Jasa dan sumbangan yang dicurahkan bekas pegawai dan anggota polis tidak pernah dilupakan sebaliknya pengorbanan mereka terus dikenang dan disanjung selamanya.
Pengerusi Kelab Otai Pesara Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Datuk Alias Abd Rahman berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat pesara polis dan menjaga kebajikan mereka.
"Kami mengadakan lawatan kebajikan sebagai tanda penghargaan dan sokongan terhadap jasa dan pengorbanan mereka," katanya ketika ditemui di Taman Nirwana, di sini, pada Selasa.
Alias bersama Sukarelawan Hospital Kuala Lumpur dan anggota polis dari IPD Ampang Jaya melawat bekas pegawai polis, Inspektor Nothman Ahmad, 79, di kediamannya.
Mengulas lanjut, Alias berkata, lawatan itu juga bertujuan bagi mengeratkan silaturahim selain menyampaikan sumbangan kepada Nothman.
"Kita perlu mengambil berat berkaitan kebajikan pesara polis khususnya individu yang menghidapi penyakit kronik," katanya.
Sementara itu, anak lelaki kepada pesara polis, Zeti Akhtar, 52, berkata, bapanya menghidap penyakit strok pada Disember 2018.
"Bapa memasuki pasukan polis pada 1966 dan pernah berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan E4 Cawangan Khas Bukit Aman.
"Bapa telah bersara pada 2000, saya seringkali membawanya ke Bukit Aman untuk dia mengimbau kembali kenangan ketika berkhidmat bersama pasukan polis," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!