PRN: Pas Kelantan akui tergugat
KOTA BHARU - Timbalan Pesuruhjaya Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah mengakui kedudukan parti itu tergugat pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Menurut beliau, ia berikutan terdapat undi majoriti di bawah 1,000 di beberapa kerusi dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Tambahnya, antara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat ialah Apam Putra 348 undi, Wakaf Bharu (387), Dabong (589), Semerak (632), Melor (647) dan Kemahang (923).
"Persaingan ini sengit dan peluang untuk menang adalah 50-50.
"Berdasarkan pengalaman saya, jika majoriti 3,000 ia adalah stabil tetapi kalau bawah padanya, kena kerja keras lagi untuk lawan," katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.
Dalam perkembangan lain, Mohd Amar berkata, Pas melihat peluang yang besar untuk menang di tiga DUN di Gua Musang yang sebelum ini dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).
Ujar beliau, ia tidak mustahil kerana pihaknya mengambil kira semua melibatkan pengundi Orang Asli dan Cina.
Tambah beliau, daripada jumlah itu pihaknya menjangkakan Pas akan menang.
"Orang Asli dari pengalaman lepas memang tidak sokong Pas, kalau ada pun dalam 100 hingga 200 undi sahaja.
"Tapi kita lihat ada potensi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!