PRN: Enam laporan polis diterima di Kuala Muda sepanjang kempen
SUNGAI PETANI - Polis menerima enam laporan polis berkait dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) di daerah Kuala Muda bermula hari penamaan calon 29 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, lima kes membabitkan perbuatan cabut atau patahkan bendera parti dan satu kes mengenai kenyataan berbaur fitnah di media sosial.
"Setakat ini, ada lima kes cabut atau mematahkan bendera parti dan satu kes berbaur fitnah dalam Facebook berkaitan kenyataan dibuat semasa ceramah Pas yang tidak dihadiri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor," katanya.
Beliau ditemui media ketika hadir melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal di Sekolah Latihan Asas Kepolisan (SLAK) di sini.
Dalam pada itu, Zaidy memohon agar setiap parti yang bertanding dalam PRN tidak menyentuh isu 3R iaitu membabitkan istana, agama dan bangsa.
"Berbaki tempoh berkempen sehingga 11 Ogos, 12 tengah malam nanti saya berharap calon dan parti boleh berkempen dan ceramah namun mestilah dalam keadaan harmoni terutama tindak sentuh isu 3R.
"Dalam masa sama, kita juga minta calon mengawal dan mengingatkan penyokong supaya tidak membuat provokasi kepada pihak lawan,"katanya.
Zaidy terdahulu memaklumkan seramai 679 orang pegawai dan anggota polis membuang undi di SLAK pada Selasa.
Menurutnya, bagi kerusi N25 DUN Bukit Selambau melibatkan 462 orang pengundi, N26 Tanjung Dawai melibatkan 32 orang pengundi, N27 Pantai Merdeka seramai 33 orang pengundi dan N28 Bakar Arang seramai 152 orang pengundi manakala N29 Sidam tiada.
Terdapat lima DUN dalam Daerah Kuala Muda meliputi DUN Bukit Selambau dan DUN Tanjung Dawai dalam Parlimen Merbok manakala DUN Pantai Merdeka, DUN Bakar Arang dan DUN Sidam berada dalam Parlimen Sungai Petani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!