Iniesta kembang sayap ke UAE

Iniesta (tengah) tiba di UAE untuk menyarung jersi Emirates. - Foto Agensi
Iniesta (tengah) tiba di UAE untuk menyarung jersi Emirates. - Foto Agensi
A
A
A

KETIKA ramai pemain ternama dunia memilih Arab Saudi sebagai penyambung karier, namun berbeza dengan bekas pemain Barcelona dan skuad kebangsaan Sepanyol, Andres Iniesta yang berkelana ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pemain tengah itu akan menandatangani kontrak bersama kelab Emirates FC yang berpangkalan di Ras Al-Khaimah untuk tempoh setahun berserta pilihan lanjutan hingga Jun 2025.

Perkhabaran perpindahan itu diumum Emirates yang tampil mengucapkan selamat datang kepada pemain berusia 39 tahun itu menerusi video berdurasi 10 saat yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya pada Selasa.

Kelab tersebut memberikan nombor jersi kegemaran Iniesta iaitu No. 8.

Emirates bagaimanapun tidak mendedahkan kepada umum mengenai perincian kontrak Iniesta.

Sebagai rekod Iniesta bergelar ejen bebas setelah tidak menyambung kontrak bersama kelabnya, Vissel Kobe yang beraksi dalam saingan J League.

Iniesta beraksi selama lima tahun bersama Vissel Kobe sebelum memutuskan untuk berpisah dengan kelab itu awal Julai lalu.

Sepanjang bersama kelab terbabit, Iniesta membuat 134 penampilan, menyumbat 26 jaringan dan mencipta 25 bantuan gol dalam kesemua saingan domestik dan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Emirates akan membuka kempen Liga Pro UAE 2023/24 dengan menentang Al Wasl pada 19 Ogos depan.

Liga Pro Saudi berjaya memikat beberapa nama besar sejak pemenang Ballon d'Or lima kali, Cristiano Ronaldo menyertai Al-Nassr dari Manchester United Januari lepas.

Pemenang Ballon d'Or terkini, Karim Benzema dan Fabinho, serta bekas pemain tengah Chelsea, N'Golo Kante dan bekas pemain sayap Celtic, Jota pula menyertai Al-Ittihad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!