PRN Negeri Sembilan: Polis siasat kes bakar khemah, bendera parti
SEREMBAN - Sebanyak 11 kertas siasatan dibuka berkaitan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan antaranya melibatkan khianat membakar bendera dan khemah parti.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, ia melibatkan 96 laporan polis yang diterima dari hari pertama kempen sehingga Selasa.
"Kebanyakannya kes khianat dan bakar bendera manakala satu kes bakar khemah parti.
"Berkaitan kempen dan ceramah yang dijalankan pula kesemuanya mempunyai permit. Tiada sebarang kesalahan dilakukan oleh calon atau wakilnya," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Menurutnya, pada hari pengundian 12 Ogos ini, pihaknya akan menggerakkan seramai 9,223 pegawai dan anggota bagi mengawal keadaan dan juga keselamatan bagi memastikan semuanya berjalan lancar.
Terdahulu, Ahmad Dzaffir turut menjalankan tanggungjawabnya mengundi di Pejabat Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, sambil meninjau proses pengundian awal itu.
Pada Selasa, seramai 6,300 warga Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan 19,744 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di negeri ini menjalankan tanggungjawab bagi pengundian awal PRN bagi enam negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!