Along didakwa lima pertuduhan kutip wang cagaran peminjam depan bank

Tertuduh (kiri) didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Selasa.
Tertuduh (kiri) didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Tindakan seorang ejen pinjaman wang tanpa lesen atau along mengambil wang cagaran pinjaman sebanyak RM3,250 secara tidak sah daripada lima peminjam di sebuah bank, dua minggu lalu membawa padah apabila lelaki terbabit didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

Tertuduh, Teo Bak You, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut kelima-lima pertuduhan, tertuduh didakwa telah mengambil cagaran berbentuk wang tunai daripada lima orang peminjam yang berusia dalam lingkungan 32 hingga 57 tahun.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah bank di Jalan Pintu Pong di sini pada jam 7.30 pagi pada 25 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 (c) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya dikenakan penjara tidak melebihi 12 bulan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin, manakala tertuduh diwakili peguam, Lau Teck Bee.

Sebelum itu, Syazalia menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi kelima-lima pertuduhan tersebut.

Teck Bee kemudiannya memohon satu jaminan yang minimum kerana anak guamnya sudah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis dan pendakwaan semasa siasatan kes berjalan.

Artikel Berkaitan:

“Tertuduh juga menanggung isteri bersama dua orang anak berusia lapan dan enam tahun. Ibu, bapa mentua dan ibu mentuanya juga tinggal bersama tertuduh.

“Anak guam saya mempunyai keluarga, alamat tetap dan perniagaan di Kelantan,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM14,500 bagi kesemua pertuduhan yang dihadapi Bak You selain menetapkan 12 September depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Tertuduh membayar jaminan jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, empat suspek termasuk dua wanita yang merupakan ejen pinjaman wang tanpa lesen atau along dicekup semasa menunggu bayaran daripada penghutang mereka di sebuah bank di sini.

Keempat-empat suspek berusia itu ditahan kira-kira jam 7.30 pagi semasa polis menjalankan operasi dan pemerhatian di bank tersebut.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan mendapati mereka sedang menunggu di kawasan bank itu sementara penghutang mengeluarkan wang untuk membayar pinjaman pada hari gaji.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!