Seludup rokok dalam perabot

Pun Sian (dua dari kanan) menunjukkan rampasan rokok yang dirampas selepas dikesan disorok di sebalik perabot terpakai di Pelabuhan Klang, Selangor, 1 Ogos lalu.
Pun Sian (dua dari kanan) menunjukkan rampasan rokok yang dirampas selepas dikesan disorok di sebalik perabot terpakai di Pelabuhan Klang, Selangor, 1 Ogos lalu.
A
A
A

DENGKIL - Rokok seludup bernilai RM3.2 juta dirampas dalam dua operasi berasingan di Pelabuhan Klang, Selangor dan ibu negara pada 1 Ogos lalu.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Wong Pun Sian berkata, rampasan pertama dilaksanakan Unit Siasatan Frod Perdagangan (USFP) Kastam susulan penahanan sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Selangor.

Menurutnya, serbuan dengan bantuan Cawangan Narkotik Kastam menemui kira-kira satu juta batang rokok putih dianggarkan bernilai RM838,235.20 termasuk cukai.

"Rokok-rokok terbabit disorok di dalam ruangan perabot seperti meja bagi mengelak dihidu pihak kastam.

"Pemeriksaan Borang Kastam 2 (eksport) juga menunjukkan dagangan kontena itu di ikrar sebagai perabot terpakai," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Dengkil, di sini pada Selasa.

Pun Sian (dua dari kanan) menunjukkan rampasan rokok hasil serbuan di sebuah premis di Kepong, Kuala Lumpur, 1 Ogos lalu.
Pun Sian (dua dari kanan) menunjukkan rampasan rokok hasil serbuan di sebuah premis di Kepong, Kuala Lumpur, 1 Ogos lalu.

Katanya lagi, seorang ejen penghantaran ditahan selain enam saksi telah direkod keterangan bagi membantu siasatan.

Dalam kes berlainan, USFP dengan dibantu Pasukan Operasi Tempur Medan Kastam (COBRA) berjaya mematahkan sindiket penyeludupan rokok hasil serbuan premis di Kepong Commercial Park, Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Kastam telah merampas lebih 3 juta batang rokok putih dan kretek bernilai kira-kira RM2.3 juta termasuk cukai dipercayai diseludup dari luar negara untuk pasaran tempatan.

"Tiada sebarang dokumen pengimportan ditemui dan usaha mengesan dalang sedang giat dijalankan," ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(a) akta yang sama.

Justeru, Kastam menyeru orang ramai untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam berhampiran di semua negeri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!