Annuar yakin ada usul undi tak percaya jika BN ditolak rakyat

Annuar ketika menyampaikan Ceramah Umum PRN di Pos Pas Padang Luas, Besut pada malam Isnin.
Annuar ketika menyampaikan Ceramah Umum PRN di Pos Pas Padang Luas, Besut pada malam Isnin.
A
A
A

BESUT - Kemungkinan pentadbiran negara berubah selepas pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri tidak mustahil berlaku sekiranya keputusan menunjukkan rakyat menolak Barisan Nasional (BN) - UMNO.

Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa mendakwa, kemungkinan itu boleh berlaku dengan mengambil kira akan ada gerakan melibatkan ahli Parlimen daripada parti tersebut membuat undi tidak percaya kepada kerajaan kerana tidak mendapat mandat rakyat.

"Kalau rakyat menjatuhkan satu referendum (penolakan) terhadap UMNO, maka sebaik sahaja PRN di enam negeri mendapat keputusan (maka) perhitungan selanjutnya adalah di Parlimen itu sendiri.

"Di mana saya yakin, ahli Parlimen yang ada (daripada UMNO) akan bangkit dengan usul tidak percaya kepada kerajaan yang tidak ada mandat rakyat.

"Seharusnya kerajaan (ketika ini) perlu bertukar sebelum akhir tahun ini dan kerajaan baharu (perlu dibentuk) yang mengikut kehendak rakyat hendaklah dibentuk dengan seberapa segera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ceramah Umum PRN di Pos Pas Padang Luas di sini pada malam Isnin.

Turut hadir, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad; Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husin Awang dan calon Pas Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor.

Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO menerusi ceramah sama turut mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berdepan krisis kepimpinan kerana tidak memperoleh sokongan penuh daripada 10 ahli Parlimen BN.

Artikel Berkaitan:

"10 ahli Parlimen BN sampai hari ini pun masih tidak beri sokongan yang bulat kepada Anwar," katanya.

Sehubungan itu, Annuar menggesa semua pengundi yang terlibat dalam PRN untuk memberikan undi yang kukuh kepada calon Perikatan Nasional.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!