Wanita maut selepas besarkan payudara

Tangkap layar kematian seorang wanita selepas empat hari menjalani suntikan membesarkan payudara.
Tangkap layar kematian seorang wanita selepas empat hari menjalani suntikan membesarkan payudara.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang suri rumah meninggal dunia selepas menjalani pembedahan pembesaran payudara dipercayai dilakukan pakar kecantikan tidak bertauliah di sebuah rumah di Skudai.

Difahamkan mangsa berusia 29 tahun dikenali sebagai Chen, meninggal dunia pada 2 Ogos.

Memetik laporan akhbar berbahasa Cina tempatan, suami mangsa dikenali sebagai Wong berusia 32 tahun berkata, mangsa dimasukkan ke hospital selepas mengalami komplikasi yang didakwa berpunca daripada pembedahan pembesaran payudara asid hyaluronik.

Difahamkan, pada mulanya mangsa merancang untuk menjalani pembedahan 'menarik benang' muka mikro untuk menjadikan kulitnya lebih tegang.

Namun 'pakar kecantikan' itu memujuk isterinya untuk menjalani pembedahan pembesaran payudara.

Wong mendakwa selepas melakukan pembedahan itu, isterinya mengalami sakit dada. Ketika isterinya cuba membayar perkhidmatan itu, jurusolek itu dilaporkan enggan menerima bayaran tersebut.

"Keesokan harinya (30 Julai), isteri saya masih sangat tidak sihat. Ditemani seorang rakan, dia pergi ke klinik berhampiran untuk konsultasi pada waktu tengah hari. Selepas berunding, doktor membuat kesimpulan bahawa ia disebabkan oleh ubat bius yang berlebihan.

"Sekitar jam 7 malam, keadaannya tidak pulih. Lukanya masih sakit dan tidak selesa. Dia segera ke hospital swasta berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Artikel Berkaitan:

"Isteri kemudian dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada pagi 2 Ogos selepas tidak boleh berjalan lagi. Dia meninggal pada jam 7 pagi," katanya.

Upacara pengebumian dan pembakaran mayat dilakukan kelmarin, di Wisma Tiong Hua, Johor Bahru.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin mengesahkan kejadian itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!