Propaganda sentimen agama sepanjang setahun PH

Kes Tabung Haji yang begitu dekat dengan umat Islam di negara ini menjadi antara tumpuan sepanjang setahun pentadbiran PH.
Kes Tabung Haji yang begitu dekat dengan umat Islam di negara ini menjadi antara tumpuan sepanjang setahun pentadbiran PH.
A
A
A

MAJORITI orang yang saya jumpa mengatakan bahawa Islam terjejas pada era Pakatan Harapan (PH) berkuasa.

Alasan mereka ialah kerana kerjasama PH dengan orang bukan Islam, penghinaan terhadap Islam dan Nabi Muhammad dan isu-isu Tabung Haji (TH).

Propaganda terbaru ialah tentang Statut Rom yang dikatakan anti-Islam, menyokong LGBT dan merugikan orang Melayu yang akhirnya dibatalkan oleh kerajaan PH.

Sebenarnya perang propaganda dengan tujuan mempengaruhi persepsi di tengah masyarakat ini berlaku semasa musim kempen PRU14 lagi.

Pada masa itu isu yang hangat dibincangkan ialah kononnya Jakim akan dibubarkan, orang DAP akan menjadi Perdana Menteri dan sebagainya.

Propaganda adalah menyebarkan maklumat dengan tujuan mempengaruhi orang ramai.

Propaganda pembangkang telah berjaya menumbangkan kerajaan reformasi di Indonesia dan Mesir yang diganti dengan kepimpinan yang lebih buruk.

Namun kejayaan propaganda di pihak kerajaan juga berjaya mempertahankan kerajaan reformasi di Turki bawah kepimpinan Erdogan.

Artikel Berkaitan:

Ini bermakna siapa yang menguasai media dialah yang berkuasa.

Propaganda akan melahirkan persepsi dan akhirnya membentuk opinion di tengah masyarakat. Kebohongan yang berulang-ulang akan menjadi kebenaran kata Goebbels.

Kesahihan persepsi

Sebenarnya kerjasama dengan orang bukan Islam dalam membentuk kerajaan bukanlah hal yang baharu.

Barisan Nasional (BN) juga melakukan kerjasama dengan orang bukan Islam seperti MCA, Gerakan dan MIC.

Bahkan PH tidak membentuk kerajaan dengan parti satu kaum dan satu agama sebagaimana BN dulu.

Parti Tindakan Demokratik (DAP) ditubuhkan pada 18 Mac 1966.

Ia tiada kaitan langsung dengan sejarah PKM yang 23 tahun bubar selepasnya.

DAP berbentuk pelbagai kaum, sekular dan sosialisme demokratik. DAP antikomunis dan antikapitalis. Perjuangan mereka adalah hak asasi manusia, kesamarataan, keadilan sosial dan ekonomi atas dasar demokrasi berparlimen.

Antara pimpinan DAP ialah Devan Nair (kaum India), Lim Kit Siang (kaum Cina) dan Haji Azhari Ismail (kaum Melayu).

DAP pernah menghantar 57 calon Melayu pada 1978 dan 10 Melayu pada PRU14 lalu. Bahasa rasmi DAP ialah bahasa Melayu dan bukan bahasa Cina.

Setelah mengikuti forum Bicara Persada ke-51 mengenai Statut Rom 19 April 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia, saya yakin bahawa majoriti rakyat tidak faham dan hanya ‘membawang’ terhadap isu ini yang dapat dilihat daripada sejarah tahun 1998 dan 2011.

Dari segi bidang kuasa, ICC pula hanya membicarakan empat jenayah antarabangsa seperti penghapusan etnik, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.

Antara penjelasan terhadap fitnah propaganda politik identiti yang dimainkan ialah Jakim dinaikkan bajetnya menjadi RM1.2 bilion setelah fitnah kononnya ia akan dibubarkan.

Maahad Tahfiz diberi bantuan RM50 juta, menjawab fitnah ia akan ditutup.

Reformasi kewangan TH jika dulu digunakan untuk biayai kempen parti politik, sekarang tidak boleh lagi.

Fitnah yang kononnya TH dikuasai Lim Guan Eng adalah fitnah kerana Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang menandatangani soal kewangan TH yang banyak jumlahnya itu.

Dalam manifesto BN dan PH sama-sama terdapat agenda memperjuangkan Islam dan Bumiputera. Dalam manifesto PH, janji ke-11 berbunyi “mengembalikan maruah orang Melayu dan institusi-institusinya”.

Mengenai kedudukan agama Islam ia telah dikuatkan lagi di bawah kuasa raja-raja dengan perjanjian dalam manifesto bahawa campur tangan kerajaan pusat berkaitan agama Islam dan adat Melayu dihentikan.

Bagi negeri yang tiada raja, adalah menjadi sumpah Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga agama Islam.Mengenai Jemaah Menteri bukan Islam dalam Kabinet bukanlah hal yang baharu. Bahkan jumlah ahli Kabinet bukan Islam semasa BN memerintah lebih ramai daripada jumlah ahli Kabinet bukan Islam dalam kerajaan PH.

Jika Dr Mujahid pernah berkata, “tidak mungkin orang bernama Mujahid ini akan melakukan perkara yang merugikan Islam”, begitu jugalah barisan Kabinet orang Islam lainnya.

Tiada siapa yang meragukan keislaman Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tan Sri Muhyiddin Yasin, Mohamad Sabu, Dr Maszlee Malek dan puluhan orang Islam lainnya dalam Kabinet Malaysia Baharu.

Janji PH ketujuh adalah menyiasat penyelewengan terhadap aset negara termasuk berkaitan orang Islam Melayu seperti 1MDB, Felda, Mara dan TH. Semua penyelewengan yang disebut sedang berada dalam proses mahkamah saat ini.

Kesatuan ummah

Idea kesatuan ummah ini telah digerakkan oleh Majlis Dakwah Negara (MDN) di bawah kepimpinan Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid sejak Oktober 2013 lagi.

Majlis dakwah itu bersatu dalam hal yang melibatkan kepentingan ummah tanpa mengira perbezaan parti politik dan suku kaum. Antara dasarnya adalah pemangkin perpaduan ummah yang berada di bawah panel perunding perpaduan ummah.

Fokus MDN adalah memupuk semangat persaudaraan Islam dan mengukuhkan ikatan kesatuan dalam kalangan umat Islam. Motonya adalah perpaduan ummah merentasi fahaman politik dan kaum.

Kesatuan ummah yang dimaksudkan dalam tulisan ini pula bukanlah kesatuan UMNO dan Pas.

Ini kerana setelah mengikuti forum bersama Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Universiti Malaya pada 18 Mac lalu, saya menyimpulkan bahawa isu penyatuan itu hanyalah fatamorgana.

Ia dapat dibaca daripada sejarah masa lalu yang panjang antara Pas dengan UMNO sebagaimana yang disampaikan Abdul Hadi.

Tentang idea kesatuan UMNO dengan Pas sebagai simbol kesatuan umat Islam di Malaysia, ia akan meninggalkan banyak persoalan antara lain adakah UMNO dan Pas menilai bahawa umat Islam juga berada dalam parti PKR, Bersatu, Amanah dan DAP yang tidak tergolong kepada ummah.

Bahkan Abdul Hadi mengatakan bahawa orang bukan Islam juga dikategorikan sebagai umat dakwah Nabi Muhammad sebagai Nabi sekalian alam.

Latar belakang pemimpin PH yang mentadbir negara saat ini bukanlah penjenayah atau orang jahil dan fasik.

Latar belakang keluarga, pendidikan dan masa lalu mereka dapat diketahui. Bahkan dalam semua komponen parti kerajaan PH juga terdapat ulama di dalamnya.

Beri mereka peluang dan kepercayaan untuk mengemudi negara ini dengan tetap memberi kritikan yang sahih. Jangan termakan propaganda politik identiti daripada orang politik yang ingin terus berkuasa.

Banyak yang boleh dilakukan dalam rangka memperkasakan umat dan bangsa pada era Malaysia baharu ini.

Kita mendoakan kejayaan kerajaan PH yang saat ini sedang berjuang mengembalikan wang rakyat yang diseleweng dan mengheret para pelakunya ke mahkamah untuk mendapatkan hukuman setimpal.

Perbuatan mendoakan kehancuran pemerintah bukanlah ajaran Islam walaupun ia dilakukan oleh ustaz parti Islam.

*Dr Afriadi Sanusi merupakan Setiausaha Antarabangsa Majlis Dakwah Negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

Artikel Disyorkan
No Image Caption
Kerajaan PH

Wibawa Parlimen dikembalikan

No Image Caption
Kerajaan PH

Debat undang-undang, Perlembagaan semakin rancak