PN mohon 319 permit ceramah pilihan raya di Terengganu

Mazli (tengah) ketika sidang media selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu (IPK), di Kuala Terengganu, pada Selasa.
Mazli (tengah) ketika sidang media selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu (IPK), di Kuala Terengganu, pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Perikatan Nasional (PN) paling tinggi mengemukakan permohonan permit untuk mengadakan ceramah sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, sepanjang tempoh itu sebanyak 319 permit ceramah dimohon oleh gabungan parti itu, 132 (Barisan Nasional), 10 (Pakatan Harapan) dan sembilan dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Jelas beliau, secara keseluruhan sebanyak 470 permohonan telah diluluskan berdasarkan kumulatif permit berakhir pada Ahad (6 Ogos) lalu.

"Permohonan permit perlu dikemukakan sama ada ceramah berbentuk fizikal, maya, video, audio atau dilakukan sebagai bentuk kempen.

"Begitu juga dengan pemasangan bahan-bahan kempen seperti bendera dan poster perlu dipasang dengan sebaik-baiknya dengan tidak mengganggu dan membahayakan pengguna jalan raya," katanya pada sidang media selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu (IPK), di sini, pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, katanya, setiap parti perlu mematuhi arahan sepanjang tempoh kempen dan pilihan raya.

"Kita mahu ingatkan kepada parti-parti dan calon yang bertanding supaya mematuhi segala peruntukan perundangan yang telah ditetapkan semasa proses pilihan raya berlangsung.

"Usah lakukan sebarang bentuk provokasi yang melampau termasuklah menyentuh mengenai 3R (kaum, agama, institusi Raja)," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh mengenai proses pengundian awal, katanya, ia berlangsung dengan baik melibatkan sejumlah 6,957 pengundi iaitu 1,884 anggota tentera, 4,395 anggota polis dan 678 orang awam yang dijadualkan mengundi di 35 saluran yang terdapat di 29 pusat mengundi awal di seluruh negeri pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Mazli memberitahu, seramai 4,468 anggota keselamatan termasuk 2,029 dari Bukit Aman akan ditugaskan sepanjang hari pengundian pada Sabtu ini.

Selain itu, katanya, sebanyak 59 kawasan hot spot telah dikenal pasti meliputi 11 kawasan yang mempunyai rekod insiden, 14 kawasan (berpotensi cetus insiden atau persaingan sengit) dan 34 kawasan seimbang atau kurang persaingan.

"Kita bersedia dengan elemen-elemen penugasan yang telah dirancang dan diatur gerak sekiranya terdapat perkara-perkara yang tidak diingini berlaku serta bergantung kepada keadaan dan situasi semasa.

"Kita juga ada seramai 118 pegawai dan anggota trafik yang akan mengawal lalu lintas sepanjang proses pengundian nanti yang dijangka akan berlaku sedikit kesesakan," kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!