Suara merdu Siti Nurhaliza buat David Foster terpegun

Tangkap layar video yang dikongsi Siti Nurhaliza melalui Instagram miliknya.
Tangkap layar video yang dikongsi Siti Nurhaliza melalui Instagram miliknya.
A
A
A

KEPUTUSAN penerbit dan komposer terkemuka dunia, David Foster mengundang penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk sama-sama membuat persembahan dengannya pada konsert malam tadi, terbukti tidak sia-sia.

Siti Nurhaliza, yang mempersembahkan lagu nyanyian asal Celine Dion, The Power of Love, memukau kira-kira 3,000 penonton yang hadir pada konsert Hitman: David Foster and Friends Asia Tour 2023 di Mega Star Arena, Sungei Wang hingga membuatkan mereka berdiri dan memberi tepukan gemuruh.

David yang mengiringi persembahan berkenaan dengan petikan piano turut terpegun dengan kelunakan suara penyanyi asal Kuala Lipis, Pahang itu dan secara spontan meminta Siti Nurhaliza mendendangkan satu lagi lagu ciptaannya, All By Myself yang juga dipopularkan Celine Dion.

"Beliau mempunyai suara yang sangat merdu,” kata David, 73, yang merupakan pemenang 16 Anugerah Grammy termasuk tiga Penerbit Tahunan Terbaik, pada konsert amal anjuran Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) itu.

Konsert berkenaan turut menampilkan barisan penyanyi antarabangsa seperti Michael Bolton, Peabo Bryson, Loren Allref, Katharine McPhee dengan kesemua mereka menyanyikan lagu hit sentuhan magik komposer dari Kanada itu.

Lebih 15 lagu karya David dipersembahkan pada konsert selama dua jam itu antaranya When A Man Loves a Woman, Beauty and the Beast, If Ever You In My Arms Again, Can You Stop The Rain dan Cry Me A River.

Lebih manis pada konsert itu apabila David mengiringi sendiri persembahan Siti Nurhaliza ketika menyanyikan lagu daripada album terbaharunya, SITISM berjudul ‘Sehebat Matahari’.

Siti Nurhaliza turut dijemput membuat persembahan konsert sama di Singapura hari ini.

Artikel Berkaitan:

Menerusi kenyataan Yayasan Prihatin, Siti Nurhaliza bersyukur dan berasa bertuah kerana diberi peluang serta kesempatan berganding bersama pemuzik dan komposer terkenal itu.

"Saya pernah berkolaborasi bersama David Foster sembilan tahun lepas. Alhamdulillah doa saya untuk bergandingan sekali lagi dengan beliau di atas satu pentas yang sama telah dimakbulkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali berkata, konsert tersebut dilihat bukan sahaja mampu mengukuhkan nama Malaysia di persada antarabangsa, malah membantu mengumpul dana bagi memperkasakan pendidikan dalam kalangan pelajar yang memerlukan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!