Suri rumah pukul penuntut kolej, rosakkan telefon didenda RM2,000

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KAJANG - Seorang suri rumah yang klip video perbuatannya tular di media sosial didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memukul seorang penuntut kolej swasta dan merosakkan telefon bimbit milik pelajar itu di Sungai Long, di sini minggu lepas.

Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamad Faiz menjatuhkan hukuman hukuman denda RM1,000 atau sebulan penjara bagi setiap pertuduhan terhadap Chew Soo Li, 51.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, Chew didakwa melakukan khianat dengan merosakkan telefon bimbit jenis Iphone X milik Jocelyn Foo Qai Yen, 20, di tepi jalan Sungai Long, Bandar Sungai Long di sini, pada 2 petang, 3 Ogos lepas dan mencederakan pelajar berkenaan di sebuah kedai serbaneka pada tarikh dan masa sama.

Bagi kesalahan khianat, ibu empat anak itu didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya manakala pertuduhan mencederakan adalah mengikut Seksyen 323 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang berada di pekarangan sebuah kolej didatangi tertuduh yang mahu meminjam telefon bimbit bagi membuat panggilan, namun mangsa memberitahu dia sedang menggunakannya, menyebabkan tertuduh memarahi mangsa dan merampas telefon bimbit itu lalu menghempasnya ke tepi jalan.

Mereka kemudian berbincang di dalam sebuah kedai serbaneka berdekatan, sebelum tertuduh bertindak memukul muka mangsa dengan sebuah buku dan hasil pemeriksaan pegawai perubatan di Hospital Kajang mendapati mangsa mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian pipi kiri.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim memohon hukuman sewajarnya bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama selain mengambil kira faktor kecederaan dan kerugian dialami mangsa.

Peguam S Priyalatha mewakili tertuduh memohon denda minimum atas alasan suami tertuduh tidak bekerja selain mempunyai masalah kolestrol tinggi serta bergantung pada ubat.

Artikel Berkaitan:

"Anak guam saya mempunyai empat anak berusia antara lapan dan 21 tahun. Dia bergantung kepada duit simpanan suaminya untuk menyara hidup. Tertuduh juga berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama dan pengalaman direman tujuh hari menjadi pengajaran kepadanya,” kata peguam itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!