BSH bantu ringan beban kos sara hidup

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Mohd Sani (kiri), A Halim, Mohd Zailani
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Mohd Sani (kiri), A Halim, Mohd Zailani
A
A
A

KUANTAN - Veteran tentera yang tidak berpencen di Pahang menyifatkan pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM300 sebulan bermula September depan sebagai berita gembira buat mereka.

Yang Dipertua Pertubuhan Kumpulan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PKVTTB) Pahang, Mohd Sani Ishak berkata, pemberian itu memberi kelegaan buat mereka dalam meringankan beban kos sara hidup ketika ini.

"Kerajaan begitu prihatin dan mengambil berat terhadap nasib kami yang tidak berpencen atau dalam erti kata lain tamat perkhidmatan sebelum 21 tahun.

"Kita tidak tahu syaratnya macam mana lagi, apakah mereka ini (yang layak) perlu mengisi borang bagi mendapatkan intensif kewangan itu atau bagaimana?," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan BSH sebanyak RM300 sebulan akan diperluaskan kepada veteran tidak berpencen pada usia 60 tahun berkuat kuasa September depan.

Jelasnya, pemanjangan BSH yang akan berkuat kuasa pada September depan memberi faedah kepada seramai 41,970 veteran tidak berpencen dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM151.1 juta setahun.

Sebelum ini, BSH RM300 sebulan hanya dinikmati veteran tidak berpencen pada usia 80 tahun.

Sementara itu, bagi, A Halim Hassan, 64, bersyukur kerana sedikit sebanyak dapat membantu mereka mereka yang turut terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

Artikel Berkaitan:

"Kami tiada penerima sebarang inisiatif dan boleh saya katakan ini pertama kali veteran tentera tidak berpencen mendapat manfaat daripada kerajaan.

"Jadi, terima kasih atas keprihatinan kerajaan terhadap nasib kami," katanya yang menetap di Batu 12, Jalan Gambang di sini.

Mohd Zailani Md Atan, 63, pula berkata, intensif tersebut disifatkan sebagai menghargai mereka yang menghabiskan masa muda mereka untuk negara walaupun tidak mencapai 21 tahun dalam perkhidmatan.

"Pada orang yang tak berpencen, ok lah dapat bantuan RM300. Kalau ikutkan sudah lama kami berusaha untuk dapatkan elaun ini.

"Kita pun tentera juga dan habiskan masa muda untuk negara. Alhamdulillah, kerajaan mendengar keluh kesah kami," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!