Malaysia uji 'taring' India dalam Pestabola Merdeka
MALAYSIA akan menguji 'taring' apabila bakal membuat perhitungan dengan pasukan nombor 99 dunia, India dalam kempen Pestabola Merdeka 2023 pada Oktober depan.
Kejohanan yang dijadualkan berlangsung dari 13 hingga 17 Oktober itu menjadi platform terbaik buat skuad bimbingan Kim Pan-gon menguji kekuatan pasukan menjelang Piala Asia di Qatar Januari tahun depan.
Pestabola Merdeka yang disertai empat negara dengan format kalah mati itu turut menyaksikan penampilan pasukan ranking ke-96 dunia, Palestin dan Lebanon yang menghuni tangga ke-100 dunia.
Dalam undian yang diadakan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Petaling Jaya pada Selasa, skuad Harimau Malaya akan membuka tirai kejohanan dengan menentang India pada 13 Oktober.
Pemenang kemudian akan menentang Pelastin atau Lebanon yang turut memulakan saingan pada tarikh sama.
Semua perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Perlawanan akhir dan penentuan tempat ketiga edisi ke-42 Pestabola Merdeka itu diadakan pada 17 Oktober.
Sebagai rekod kali terakhir kejohanan diadakan adalah pada 2013 apabila skuad bawah 23 tahun (B-23) negara bimbingan Datuk Ong Kim Swee ketika itu berjaya muncul juara selepas mengalahkan Myanmar 2-0.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!