Ipoh tuan rumah IMT-GT

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Bandar raya Ipoh menjadi tuan rumah bagi pertemuan Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) pada Rabu.

Pertemuan dua hari yang dihadiri ketua delegasi tiga negara berjiran itu adalah bagi membincangkan jaringan kerjasama dalam menjayakan pelan tindakan inisiatif hijau.

Dua mesyuarat penting melibatkan Majlis Dato Bandar Bagi Bandar Hijau (GCMC) Ke-6 dan Mesyuarat Majlis Hijau (GCM) Ke-6 akan diadakan.

Selain itu, ketua-ketua delegasi juga akan mendengar pembentangan oleh wakil Bank Pembangunan Asia (ADB) berhubung Pemangkin Kemudahan Kewangan Hijau ASEAN (ACGF) yang bertujuan memudahkan pembiayaan bagi pembangunan inisiatif hijau di negara-negara peserta.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pertemuan tersebut dijangka akan membincangkan laporan, cadangan dan input GCMC dan GCM berkaitan komitmen ketiga-tiga negara dalam mengarusperdanakan pembangunan bandar mampan di seluruh bandar negara peserta.

“Pertemuan ini juga penting bagi kita mengukuhkan jaringan kerjasama dalam tindakan iklim, promosi amalan pengeluaran hijau dan memanfaatkan kemahiran serta pengetahuan entiti swasta untuk mempercepat pelaksanaan Kerangka Pembangunan Bandar Mampan (SUDF).

“Pada masa yang sama, dua mesyuarat yang diadakan sempena pertemuan ini diharap dapat memperkukuhkan perkongsian dan kerjasama merentasi koridor ekonomi yang lebih luas demi manfaat bersama,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurut beliau, hasil perbincangan itu dijangka akan diumumkan dalam Forum Ketua Menteri dan Gabenor IMT-GT yang dijadual berlangsung pada 27 September depan di Batam, Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Tambah Saarani, pemilihan Ipoh sebagai tuan rumah mesyuarat kali ini amat signifikan dalam kesiapsiagaan Perak menjayakan Tahun Melawat Perak 2024.

Saarani dijadualkan menyampaikan ucaptama pada pertemuan tersebut dan disusuli dengan laporan GCMC dan GCM, taklimat Laporan Kemajuan Segitiga Pertumbuhan IMT-GT dan pembentangan oleh wakil ADB.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!