Dua beradik palsukan kematian saudara kandung ditahan

Dua beradik lelaki ditahan cuba memalsukan kematian saudara kandung mereka, selain disyaki membunuh mangsa dalam kejadian di Taman Sri Mahkota di Kulim pada Isnin. - Foto PDRM
Dua beradik lelaki ditahan cuba memalsukan kematian saudara kandung mereka, selain disyaki membunuh mangsa dalam kejadian di Taman Sri Mahkota di Kulim pada Isnin. - Foto PDRM
A
A
A

KULIM – Dua beradik lelaki ditahan bukan sahaja cuba memalsukan kematian saudara kandung mereka, malah turut disyaki membunuh mangsa dalam kejadian di Taman Sri Mahkota di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd Redzuan Salleh berkata, terlebih dahulu, polis menerima laporan polis daripada abang mangsa pada jam 12.30 tengah hari menyatakan adiknya berusia 21 tahun telah terjatuh semasa bekerja di kandang kambing sekitar jam 10.10 pagi.

Menurutnya, suspek berusia 26 tahun telah membawa adiknya ke Hospital Kulim dan disahkan telah meninggal dunia.

“Namun, siasatan mendapati, berlaku pertengkaran dan pergelutan antara mangsa dengan seorang lagi adik berusia 18 tahun.

“Bagaimanapun, abang mereka dipercayai telah membuat laporan palsu untuk menyembunyikan keadaan sebenar,” katanya.

Mohd Redzuan berkata, mayat mangsa kemudian dirujuk ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.

Hasil proses bedah siasat mendapati, punca kematian adalah disebabkan tikaman di bahagian jantung.

Jelas Mohd Redzuan, kedua-dua beradik itu kemudian ditahan reman selama tujuh hari sehingga 14 Ogos depan bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Semakan rekod mendapati, suspek berusia 26 tahun mempunyai satu rekod jenayah lampau dan satu rekod dadah manakala adiknya mempunyai dua rekod jenayah.

Bagaimanapun, punca kejadian masih dalam siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!