JPN perjelas isu pemuda tiada MyKad ditahan di depot tahanan
SHAH ALAM - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tampil menjawab isu seorang pemuda yang didakwa ditahan di depot imigresen sejak 2019 kerana tidak memiliki kad pengenalan seperti yang dilaporkan oleh media pada Isnin.
JPN dalam satu kenyataan berkata, semakan mendapati R Tayalan atau nama Islamnya Mohd Farid Abdullah, 26 hanya memiliki sijil kelahiran dengan maklumat warganegara belum ditentukan.
Menurutnya, ketika pendaftaran kelahiran dilakukan, tiada maklumat yang diterima berkaitan dengan ibu Farid.
“Bagaimanapun, bapa kandung Farid, R Rama Chandran pernah hadir ke JPN Putrajaya untuk membuat permohonan pindaan sijil lahir dengan memasukkan maklumat ibu iaitu Mariamman Arumugam pada Jun 2023 lalu.
“Penelitian permohonan sedang dilakukan, namun Mariamman gagal hadir ke JPN bagi proses selanjutnya iaitu tujuan pengesahan dan penilaian.
“Kami memerlukan kerjasama kehadiran Mariamman untuk pertimbangan kemasukan nombor kad pengenalan beliau di dalam sijil kelahiran Farid,” ujarnya dalam kenyataan pada Selasa.
Berdasarkan laporan media, Rama berkata Farid ditahan dalam satu operasi di Ipoh pada tahun 2019 dan penahanan itu hanya diketahui selepas dimaklumkan oleh bapa angkat anaknya, Mohamad Tarudi Bahari, 68, yang dihubungi oleh pusat tahanan berkenaan kerana tidak memiliki MyKad.
Dalam pada itu, JPN berkata, akan menyelesaikan perkara berkenaan segera dengan mengambil kira elemen kebajikan dan kemanusiaan pihak yang berurusan.
“Ia menjadi tanggungjawab dan keutamaan jabatan untuk melaksanakan tugas dengan mematuhi perlembagaan, perundangan serta peraturan-peraturan yang berkuat kuasa bagi menjamin keselamatan dan juga kedaulatan negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!