Atlet, pegawai sertai bengkel sebagai persiapan ke Sukan Asia Hangzhou
BEBERAPA bengkel akan diadakan dalam masa terdekat bagi memastikan para atlet dan pegawai negara bersedia sepenuhnya mengharungi cabaran Sukan Asia Hangzhou di China bermula 23 September hingga 8 Oktober ini, menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
"Untuk sasaran pingat, kita perlu tunggu sehingga bengkel (penetapan sasaran) yang dijangka berlangsung pada hujung bulan ini,” katanya selepas melancarkan Kejohanan Futsal Youth Expatriate Sports (YES) sempena Sambutan Hari ASEAN ke-56 di Puchong dekat sini pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau yakin hubungan baik antara Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Chong Kim Fatt dan pihak kedutaan China di sini, dapat melancarkan semua urusan berkaitan temasya berkenaan.
"CDM dan MOM (Majlis Olimpik Malaysia) telah berikan taklimat kepada saya semalam mengenai penglibatan atlet-atlet kita. Tahniah kepada CDM kerana sangat proaktif (dalam persiapan ke Sukan Asia),” katanya.
Terdahulu, MOM menerusi kenyataan mengesahkan Malaysia akan diwakili 292 atlet meliputi 29 disiplin daripada 23 jenis sukan.
Sementara itu, Hannah berkata, warga asing yang tinggal di Malaysia turut dilindungi dalam Kod Sukan Selamat dilancarkan pada Mac lepas, yang kini diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris.
"Kita ada ramai warga asing yang tinggal di sini, mereka juga bersukan. Jadi kita terjemah Kod Sukan Selamat daripada Bahasa Melayu supaya mereka juga mengenali dan memahami yang mereka turut dilindungi apabila mengamalkan aktiviti sukan,” katanya.
Kod dibangunkan KBS itu adalah garis panduan mengenai persekitaran sukan yang selamat, selain menekankan peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam menangani sebarang bentuk gangguan dan penderaan dalam sukan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!