Amirudin yakin BN menang lebih lima kerusi DUN Selangor

Amirudin semasa berucap pada Ceramah Umum PH di Sekinchan di sini pada Selasa.
Amirudin semasa berucap pada Ceramah Umum PH di Sekinchan di sini pada Selasa.
A
A
A

SABAK BERNAM - Pakatan Harapan (PH) optimis Barisan Nasional (BN) mampu memenangi lebih lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantu mengekalkan kerajaan Perpaduan di Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, momentum itu berdasarkan daripada sokongan rakyat yang memihak kepada kerjasama antara gabungan PH dan BN di negeri ini.

"Kerusi BN ada beberapa yang lepas (menang), mungkin lebih daripada lima atau enam," katanya ketika ditemui pada Ceramah Umum PH di Sekinchan di sini pada malam Selasa.

Amirudin berkata, jika kemenangan dapat dicapai, beliau yakin gabungan PH dan BN mampu memperoleh antara 38 hingga 40 daripada 56 kerusi yang ditandingi pada PRN Selangor.

"Saya percaya rakyat sudah bijak buat penilaian dan sokongan kini berada pada tahap 60 hingga 70 peratus sudah membuat keputusan (menyokong kerajaan negeri ketika ini)," jelas beliau.

Bagaimanapun, Amirudin memberitahu, semua jentera PH-BN diingatkan tidak memandang rendah pada pihak lawan.

"Kita akan terus bekerja keras kerana pelbagai isu (ditimbulkan pembangkang) turun dan naik pada setiap hari (berkempen)," tambahnya.

Mengulas mengenai potensi kemenangan kerusi DUN Sekinchan yang dimenangi penyandangnya, Ng Suee Lim sejak lima penggal lalu, Amirudin tetap yakin kerusi itu terus dimenangi calon DAP berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Saya lihat Sekinchan kawasan yang ada cabaran, tetapi boleh dikekalkan dengan sokongan daripada komponen Perpaduan," ujar beliau.

Ditanya peluang PH-BN menang di Selangor Utara, Amirudin memberitahu, kerjasama gabungan itu tetap teguh untuk terus menawan hati pengundi.

Beliau memberitahu, momentum kemenangan bukan sahaja di kawasan bandar, tetapi di kawasan Selangor Utara yang majoritinya pengundi Melayu.

"Kita yakin di Selangor Utara ini juga memihak kepada kerajaan negeri dan mampu kekal untuk memastikan pemerintahan kerajaan negeri dapat diteruskan," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, BN memenangi empat kerusi DUN iaitu di Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Sungai Burong dan Hulu Bernam.

BN kemudian menambah satu lagi kerusi selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih.

CAPTION

Amirudin semasa berucap pada Ceramah Umum PH di Sekinchan di sini pada Selasa.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!