Sang Kenari bangkit jinakkan Tok Gajah

Ifedayo selepas meledakkan gol pertama pada aksi bertemu Sri Pahang FC pada malam Selasa. - Foto KDA FC
Ifedayo selepas meledakkan gol pertama pada aksi bertemu Sri Pahang FC pada malam Selasa. - Foto KDA FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC berjaya mengekang asakan Sri Pahang FC sebelum mengatasi pasukan tersebut 2-0 pada aksi ke-19 Liga Super 2023 di Stadium Darul Aman pada malam Selasa.

Sang Kenari yang sebelum ini tewas mengejut kepada Perak FC 1-3 pada perlawan pertama Piala Malaysia 2023 Khamis lalu kembali mempamerkan kebangkitan memburu tiga mata penting di laman sendiri.

Anak buah Nafuzi Zain tidak menunggu lama untuk berada di hadapan 1-0 seawal minit ke-4 selepas Ifedayo Olusegun menguis masuk bola yang gagal dikeluarkan oleh pemain lawan, Nor Azam Azih untuk menewaskan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan.

Jaringan tersebut jelas memberikan tekanan kepada Sri Pahang FC yang berusaha untuk memburu gol penyamaan dan penyerang mereka, Kpah Sherman hampir melakukannya pada minit ke-11 dan 22.

Bagaimanapun, dua peluang terbaik itu sekadar melepasi palang dan satu lagi berjaya ditepis penjaga gol tuan rumah, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi.

KDA FC terus menambah jaringan kepada 2-0 menerusi J Partiban pada minit ke-42 untuk terus memberikan tekanan kepada Tok Gajah.

Gol tersebut berpunca daripada serangan pantas yang digerakkan oleh Ketua pasukan Sang Kenari, Manuel Ott bersama Ifedayo bagi menarik perhatian pertahanan pelawat sebelum Ott melakukan percubaan dan ditepis oleh Izham, namun Partiban berada pada kedudukan tepat menolak bola masuk ke dalam gol.

Kemenangan tersebut menyaksikan KDA FC kekal berada di tangga ketiga Liga Super dengan 40 mata manakala Sri Pahang di tangga keempat dengan 37 mata.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!