Selangor kekal status Raja Lembah Klang

Ayron (kiri) melakukan percubaan ketika aksi Liga Super, Selangor menentang KL City di Stadium Bola Sepak Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada Selasa.
Ayron (kiri) melakukan percubaan ketika aksi Liga Super, Selangor menentang KL City di Stadium Bola Sepak Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada Selasa.
A
A
A

HASRAT pengendali baharu Kuala Lumpur (KL) City, Nenad Bacina menyingkap era baharu bersama The City Boys dengan noktah kemenangan tidak kesampaian apabila tewas, 0-2 kepada Selangor FC dalam perlawanan Derbi Lembah Klang Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada Selasa.

Anak buah Tan Cheng Hoe yang memburu tiga mata dalam misi memperbaiki kedudukan liga bermula garang tanpa khidmat tonggak Faisal Halim yang menjalani penggantungan perlawanan.

Keghairahan Selangor mencari gol awal akhir tercapai apabila gawang angkatan Bacina dirobek jaringan Harith Haiqal pada minit ke-32 bagi memimpin separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, The Red Giants melipatgandakan asakan ke atas benteng The City Boys bagi melebarkan jaringan.

Gol dicari Selangor akhirnya hadir hasil sentuhan peledak sensasi Aryon del Valle pada minit ke-76.

Keputusan itu menyaksikan Selangor mengumpul 43 mata - 14 menang, satu seri, lima tewas - selepas mengharungi 20 perlawanan untuk kedudukan kedua liga tiga mata mengatasi Kedah Darul Aman FC yang kurang satu perlawanan.

KL City pula kekal di kedudukan ketujuh liga dengan 28 mata - tujuh menang, tujuh seri, lima tewas - selepas mengharungi 19 perlawanan satu mata dibawa Terengganu FC.

Keputusan itu juga menyaksikan Selangor mengekalkan status Raja Lembah Klang, selepas menewaskan KL City, 3-1 dalam perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 31 March lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam satu lagi perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Terengganu FC (TFC) menewaskan Kelantan United FC, 4-1.

Gol TFC dijelmakan Ivan Mamut menerusi sepak penalti minit ke-29, Sony Norde (m-73), Nik Sharif Haseefy (m-84) dan Hakimi Abdullah (m-93) manakala Ismaheel Akinade meledak sagu hati buat Kelantan United pada minit ke-86.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!