Kadar sewa gerai dikurangkan sempena Ramadan
MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri mengambil inisiatif mengurangkan kadar sewa gerai makan di bawah pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini sebanyak 50 peratus sempena Ramadan.
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, pengurangan berkenaan tidak hanya terhad kepada peniaga Islam namun termasuk bukan Islam yang keseluruhan berjumlah 2,226 buah gerai yang diseliakan PBT di setiap daerah supaya semua mendapat manfaat di bulan mulia ini.
Menurutnya, sekali gus usaha itu dapat membantu meringankan beban peniaga makanan yang kebanyakan beroperasi pada waktu petang dan malam berbanding pada bulan lain.
"Oleh kerana kita tahu kurang urusniaga makanan pada waktu siang, jadi kita berikan pengurangan tersebut.
"Mungkin sebahagian masih berniaga seperti masyarakat bukan Islam, namun manfaat Ramadan itu diberikan kepada semua," katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Seri Negeri, di Ayer Keroh, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Adly berkata, pihaknya akan menilai dan mengkaji semula permohonan bagi papan iklan di negeri ini terutama yang mempamerkan singkatan perkataan kerana ia hanya akan memberi pemahaman kepada segelintir golongan rakyat sahaja terutama generasi muda dan tidak memberi kefahaman kepada kesemua golongan masyarakat.
Menurutnya, tidak dinafikan dunia moden ini pelbagai syarikat mempromosikan dan memperkenalkan sesebuah produk mereka secara kreatif dan penerimaan kreativiti itu boleh diterima pakai, namun akan melihat juga keperluan Melaka sebagai negeri pelancongan.
"Kalau ia dijenama semula sebagai salah satu daripada mereka punya jenama itu mungkin boleh diterima dan kalau semata-mata sebagai satu slogan dan tidak mempunyai jenama dan sebagainya, ia akan dilihat semula.
"Kita juga akan melihat bagaimana permohonan itu dibuat dan apakah polisi yang ada di perigkat PBT dan kalau dimaklumkan, adakah mendapat kebenaran, ini yang kita akan buat semakan," katanya.
Semalam tular di laman sosial mengenai sebuah papan iklan syarikat makanan terkenal yang mempamerkan perkataan singkatan berhadapan Masjid Al Azim hingga menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan netizen termasuk ketidakpuasan hati.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!