Putin jadi punca perceraian anak Menteri Pertahanan Rusia?
MOSCOW - Perceraian anak perempuan Menteri Pertahanan Rusia mencetuskan spekulasi bahawa ia ada kaitan dengan Presiden Vladimir Putin.
Ksenia, 32, yang merupakan anak kepada Sergei Shoigu mendedahkan perkahwinannya bersama jurulatih kecergasan, Alexey Stolyarov, 33, yang juga pempengaruh media sosial sudah berakhir menerusi sebuah program TV pada minggu lalu.
"Kami masih lagi teman rapat," ujar wanita itu.
Stolyarov turut mengesahkan mereka sudah tidak lagi tinggal sebumbung sejak beberapa bulan lalu, namun kedua-duanya sepakat untuk menjaga anak perempuan mereka.
"Kami akan kekal memegang tanggungjawab sebagai ibu dan bapa walaupun sudah berpisah," jelasnya lagi tanpa memberikan butiran lanjut tentang punca rumah tangga mereka berantakan.
Beberapa pengguna media sosial mendakwa pendirian anti perang Stolyarov mungkin menjadi punca utama perpisahan tersebut.
Saluran Narrarivy di Telegram juga mendakwa Putin pernah meminta Shoigu 'menutup mulut' menantunya yang lantang mengkritik operasi ketenteraan dilancarkan ke atas Ukraine.
Selain itu, Stolyarov juga menolak untuk menyertai pasukan tentera yang menyertai peperangan di Kiev. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!