PKR akan ajar pengkhianat parti - Anwar
SEREMBAN - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan parti akan menghukum ahli yang mengkhianati perjuangan parti menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) minggu depan.
Mengaitkan tindakan pengkhianatan parti dengan sejarah budaya Melayu, Raja Mendeliar dan Si Kitol, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, perbuatan mereka yang terlibat tidak akan diampunkan.
Anwar mengambil contoh dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Ampangan dan Hulu Kelang yang masing-masing ditandingi bekas ahli PKR, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
"(DUN) Ampangan penting (menang) kerana ada pengkhianatan dari dalam PKR.
"Di mana-mana saya ajar, satu hal yang tidak boleh diizinkan (adalah) pengkhianatan dalam perjuangan.
"Sebab itu saya kata dengan Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), akan ke Hulu Kelang sekali lagi pada Khamis malam untuk mengajar si pengkhianat," katanya ketika berucap pada program Jelajah Perpaduan Madani Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Selasa malam.
Sebelum ini media melaporkan, penyandang kerusi DUN Ampangan, Mohamad Rafie membuat kejutan bertanding sebagai calon Bebas setelah parti itu tidak mengekalkannya di kerusi berkenaan.
PH mencalonkan Ketua Wanita PKR Cabang Seremban, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman bagi menggantikan Mohamad Rafie.
Sementara itu mengenai pilihan raya negeri (PRN), Anwar berkata, tempoh berkempen melibatkan kerjasama PH dan UMNO merupakan percubaan baharu bagi menguatkan semangat perpaduan demi menyelamatkan negara serta mengangkat semula Malaysia sebagai negara hebat di mata dunia.
"Dalam rundingan antara PH dan UMNO, kita putuskan pertama, (hormati) prinsip Perlembagaan kalau nak selamatkan negara dan membawa perubahan. Kalau nak angkat martabat orang Melayu dan lain-lain, jadikan Malaysia negara ulung di Asia Tenggara.
"Kita kena anjak cara lama kepada cara baharu, dan ini yang kita lakukan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!